KWSP meraih pendapatan pelaburan RM7.74 bilion


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM7.74 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, melonjak 18.52 peratus daripada RM6.53 bilion yang diraihnya dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata peningkatan ketara itu didorong oleh prestasi pasaran ekuiti yang amat menggalakkan.
Prestasi pelaburan KWSP dipacu terutama daripada keuntungan ekuiti dengan memanfaatkan pasaran ekuiti yang positif menerusi aktiviti pengambilan untung pada suku pertama tahun ini, - Tan Sri Azlan Zainol, Ketua Eksekutif KWSP
“Prestasi pelaburan KWSP dipacu terutama daripada keuntungan ekuiti dengan memanfaatkan pasaran ekuiti yang positif menerusi aktiviti pengambilan untung pada suku pertama tahun ini.

“Keputusan ini menunjukkan kejayaan pendekatan pelaburan KWSP yang aktif dan berdisiplin yang membolehkan KWSP bertindak terhadap peluang yang diperolehnya,” katanya dalam kenyataan mengumumkan prestasi kewangan pengurus dana persaraan itu bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu.

Dalam tempoh dikaji, pasaran ekuiti memberikan pulangan pelaburan sebanyak RM3.62 bilion, meningkat 12.08 peratus daripada RM3.23 bilion yang dicatatkan suku sama sama tahun lalu.

Pinjaman dan bon menjadi penyumbang kedua terbesar dengan menjana pendapatan RM2.49 bilion, meningkat 40.68 peratus daripada RM1.77 bilion dicatatkan tempoh sama sebelumnya.
Antara transaksi pelaburan terbesar KWSP sepanjang suku pertama tahun ini termasuk langganan sukuk global yang dikeluarkan PLUS Bhd berikutan penswastaan PLUS Expressways Bhd pada Disember 2011.

Azlan berkata, dengan sebahagian besar aset KWSP dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah yang memberikan pulangan yang rendah, memaksimumkan pulangan bukannya satu tugas yang mudah.

“KWSP perlu melabur semula aset sudah matang yang sebelum ini memberikan pulangan lebih tinggi, dengan mengambil kira keseimbangan antara keuntungan lumayan dan pelaburan selamat berpandukan selera pulangan risiko sebagai sebuah dana persaraan,” katanya.

Sehingga 31 Mac lalu, aset pelaburan KWSP meningkat sebanyak RM38.28 bilion kepada RM488.54 bilion berbanding RM450.26 bilion pada 31 Mac tahun lalu.

Jumlah caruman yang diterimanya dalam tempoh suku pertama tahun ini berjumlah RM12.74 bilion, melebihi jumlah pengeluarannya iaitu sebanyak RM8.42 bilion, menjadikan aliran dana masuk bersihnya berjumlah RM4.32 bilion.

Sementara itu, pengurus dana persaraan antara yang tertua di dunia itu memperuntukkan 13.96 peratus daripada jumlah pelaburannya bagi pelaburan di luar negara.

“Sebagai tambahan kepada pegangan ekuiti global, KWSP merancang meningkatkan pelaburan di luar negara dalam hartanah dan infrastruktur serta sukuk dan bon konvensional, dengan mengambil kira peluang yang baik, pergerakan dan arah pasaran.

“Secara beransur-ansur KWSP akan meningkatkan pendedahan pelaburan di luar negara kepada 18 hingga 19 peratus daripada jumlah pelaburannya,” kata beliau.

Azlan bagaimanapun menegaskan, KWSP akan sentiasa berhati-hati dan amat memilih pelaburannya dalam pasaran global dan hanya melabur selepas kajian teliti dibuat.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketidaktentuan persekitaran ekonomi global, khususnya krisis hutang negara di Eropah, akan terus memberikan kesan kepada prestasi pelaburan KWSP.

“Sementara KWSP menjangkakan tahun ini sebagai tahun yang sukar, KWSP tetap berpegang teguh kepada pendekatan strategi peruntukan aset jangka panjang yang memberikan ketahanan dalam menghadapi keadaan pasaran yang mencabar masa kini,” katanya. BHO
Ranking: 5

Berita JE! KWSP meraih pendapatan pelaburan RM7.74 bilion? TINGGALKAN KOMEN...

TERKINI JE!

 
© BERITA JE! | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO