KUWAIT Investment Authority (KIA) dijangka menjadi antara kumpulan pelabur strategik ternama asing yang terbabit tawaran awam permulaan (IPO) Integrated Healthcare Holdings Bhd (IHH).
Sumber yang rapat dengan kumpulan pengurusan IHH berkata, KIA juga antara pengurus dana pelaburan terbesar dunia itu, dikatakan ‘amat berminat’ dan sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan IHH bagi memuktamadkan terma berhubung perkara itu.
“Perbincangan sedang berlangsung dan jika semuanya berjalan lancar, dijangkakan kedua-dua pihak akan memuktamadkan perjanjian pelaburan dalam IPO itu dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata demikian mengulas laporan mengatakan IHH, iaitu pengendali rangkaian pusat perubatan swasta kedua terbesar dunia dikuasai Khazanah Nasional Bhd, mengenal pasti beberapa pelabur ternama Asia Barat untuk menjadi pelabur strategik IPOnya.
Jika menjadi kenyataan, KIA yang kini menguruskan aset bernilai lebih AS$300 bilion (RM954 bilion) di seluruh dunia, akan muncul pelabur strategik asing kedua selepas International Finance Corp (IFC), iaitu unit pelaburan milik kumpulan Bank Dunia menyatakan komitmen menyertai IPO IHH.
IFC menerusi laman webnya bulan lalu, menyatakan rancangan mengambil bahagian dalam penyenaraian IHH untuk mengukuhkan strategi pengembangan syarikat kesihatan bersepadu itu, khususnya di negara serantau.
Bagaimanapun, IFC tidak mendedahkan jumlah serta jenis pelaburan dalam IHH berikutan keperluan kerahsiaan dan peraturan, menganggarkan tarikh pertimbangan lembaga bagi menjayakan rancangan itu pada 12 Jun ini.
Selain IFC dan KIA, sebuah lagi syarikat pengurus dana asing, Eastspring Investments (Singapore) Ltd, anak syarikat milik penuh Prudential PLC yang berpangkalan di United Kingdom, turut berminat menyertai IPO IHH.
“IHH dijangka memuktamadkan sekurang-kurangnya 10 pelabur strategik ternama asing dalam tempoh dua atau tiga minggu ini yang mana dijangkakan semua mereka akan melanggan sebahagian besar majoriti peratusan daripada keseluruhan saham yang akan ditawarkan IHH,” kata sumber itu.
IHH yang memiliki anak syarikat seperti Parkway Holdings Ltd, Pantai Holdings Bhd, IMU Health Sdn Bhd, Apollo Hospitals Enterprise Ltd dan Acibadem Saglik Yagtirimlari Holdings AS (ASYH), sedang membuat persiapan bagi penyenaraiannya di Bursa Malaysia serta Bursa Singapura yang dijangkakan bulan depan.
Penyenaraian IHH di Singapura dan Malaysia dijangka menjadi IPO keempat terbesar dalam sejarah republik itu dan kedua terbesar di Malaysia selepas rancangan penyenaraian kumpulan perladangan FELDA iaitu Felda Global Ventures Holdings pada akhir bulan ini.
Penganalisis yang turut dihubungi berkata, kemunculan pelabur strategik ternama antarabangsa yang dijamin memperoleh peruntukan besar dalam IPO IHH sebagai pertukaran kepada persetujuan mereka memegang saham syarikat itu dalam tempoh masa tertentu, akan memberi keyakinan kepada pelabur lain di tengah-tengah ketidaktentuan persekitaran pasaran saham ekoran krisis kewangan di Eropah. BHO
Berita JE! KIA berminat sertai tawaran awam IHH?