INISIATIF Chiangmai bernilai AS$240 bilion (RM760.97 bilion) akan bertindak sebagai barisan pertahanan pertama ASEAN jika krisis kewangan melanda rantau ini apabila Komuniti Asean dibentuk menjelang 2015.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan, berkata inisiatif itu akan mewujudkan keyakinan bahawa rantau ini mempunyai keupayaan untuk mengendalikan krisis sedemikian secara sendiri jika ia berlaku.
“Ia adalah pesanan yang utuh kepada dunia bahawa kami mempunyai barisan pertama pertahanan,” katanya semasa memberitahu World Economic Forum mengenai Asia Timur di Bangkok semalam.
Inisiatif itu adalah peraturan pertukaran mata wang pelbagai hala di kalangan Asean+3 yang terdiri daripada 10 anggota ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan.
Dana itu yang diperoleh daripada rizab pertukaran asing berupaya untuk mengendalikan masalah kecairan jangka pendek di rantau ini.
Surin berkata, mekanisme pemantauan bagi memantau pengurusan ekonomi makro negara anggota juga mempunyai pejabat di Jakarta dan Singapura.
Katanya, integrasi serantau akan saling mendedahkan masalah masing-masing kepada negara anggota lain.
“Kami boleh berbisik kepada mereka jika kami mendapati petunjuk ekonomi mereka, yang termasuk kadar inflasi terkeluar dari landasan agar tindakan segera boleh diambil untuk membetulkannya,” katanya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamed juga bersetuju bahawa rantau ini kini lebih bersedia bagi menghadapi perkara sedemikian.
“Kami kini sudah mempunyai penampan,” katanya.
Katanya, bank-bank pusat di rantau ini juga bekerjasama menguruskan sektor kewangan masing-masing tanpa sebarang perjanjian yang mengikat atau pembentukan bank pusat ASEAN. – BERNAMA
Berita JE! Dana RM760.97 billion perisai ASEAN?