KIA berminat sertai tawaran awam IHH

KUWAIT Investment Authority (KIA) dijangka menjadi antara kumpulan pelabur strategik ternama asing yang terbabit tawaran awam permulaan (IPO) Integrated Healthcare Holdings Bhd (IHH).
Sumber yang rapat dengan kumpulan pengurusan IHH berkata, KIA juga antara pengurus dana pelaburan terbesar dunia itu, dikatakan ‘amat berminat’ dan sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan IHH bagi memuktamadkan terma berhubung perkara itu.
“Perbincangan sedang berlangsung dan jika semuanya berjalan lancar, dijangkakan kedua-dua pihak akan memuktamadkan perjanjian pelaburan dalam IPO itu dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengatakan IHH, iaitu pengendali rangkaian pusat perubatan swasta kedua terbesar dunia dikuasai Khazanah Nasional Bhd, mengenal pasti beberapa pelabur ternama Asia Barat untuk menjadi pelabur strategik IPOnya.

Jika menjadi kenyataan, KIA yang kini menguruskan aset bernilai lebih AS$300 bilion (RM954 bilion) di seluruh dunia, akan muncul pelabur strategik asing kedua selepas International Finance Corp (IFC), iaitu unit pelaburan milik kumpulan Bank Dunia menyatakan komitmen menyertai IPO IHH.

IFC menerusi laman webnya bulan lalu, menyatakan rancangan mengambil bahagian dalam penyenaraian IHH untuk mengukuhkan strategi pengembangan syarikat kesihatan bersepadu itu, khususnya di negara serantau.
Bagaimanapun, IFC tidak mendedahkan jumlah serta jenis pelaburan dalam IHH berikutan keperluan kerahsiaan dan peraturan, menganggarkan tarikh pertimbangan lembaga bagi menjayakan rancangan itu pada 12 Jun ini.

Selain IFC dan KIA, sebuah lagi syarikat pengurus dana asing, Eastspring Investments (Singapore) Ltd, anak syarikat milik penuh Prudential PLC yang berpangkalan di United Kingdom, turut berminat menyertai IPO IHH.

“IHH dijangka memuktamadkan sekurang-kurangnya 10 pelabur strategik ternama asing dalam tempoh dua atau tiga minggu ini yang mana dijangkakan semua mereka akan melanggan sebahagian besar majoriti peratusan daripada keseluruhan saham yang akan ditawarkan IHH,” kata sumber itu.

IHH yang memiliki anak syarikat seperti Parkway Holdings Ltd, Pantai Holdings Bhd, IMU Health Sdn Bhd, Apollo Hospitals Enterprise Ltd dan Acibadem Saglik Yagtirimlari Holdings AS (ASYH), sedang membuat persiapan bagi penyenaraiannya di Bursa Malaysia serta Bursa Singapura yang dijangkakan bulan depan.

Penyenaraian IHH di Singapura dan Malaysia dijangka menjadi IPO keempat terbesar dalam sejarah republik itu dan kedua terbesar di Malaysia selepas rancangan penyenaraian kumpulan perladangan FELDA iaitu Felda Global Ventures Holdings pada akhir bulan ini.

Penganalisis yang turut dihubungi berkata, kemunculan pelabur strategik ternama antarabangsa yang dijamin memperoleh peruntukan besar dalam IPO IHH sebagai pertukaran kepada persetujuan mereka memegang saham syarikat itu dalam tempoh masa tertentu, akan memberi keyakinan kepada pelabur lain di tengah-tengah ketidaktentuan persekitaran pasaran saham ekoran krisis kewangan di Eropah. BHO
Submitted by Unknown at 8:04 AM in: share to:

Persidangan di Rio diramal gagal

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berusaha untuk menyelamatkan persidangan yang dihadiri lebih 100 pemimpin dunia di Rio de Janeiro dalam masa dua minggu lagi bertujuan mengelak dunia dilanda tragedi.
Persidangan mengenai Pembangunan Mapan mengambil cabaran besar mengubah alam sekitar, dasar sosial dan ekonomi untuk berdepan dengan penduduk dunia yang sudah melebihi tujuh bilion, sumber yang semakin berkurangan dan menekan bandar raya hingga ke penghujung.
Ban dan sekumpulan pakar, bagaimanapun menuduh kerajaan meletakkan kepentingan negara melebihi kebaikan sejak beberapa bulan rundingan sebelum sidang di bandar raya berkenaan bagi memperingati ulang tahun ke-20 persidangan Bumi di tempat sama.

Negara kaya dilanda krisis ekonomi dan mahu berjimat. Negara miskin merungut janji yang dibuat untuk menghulurkan lebih banyak bantuan wang tunai dan teknologi baru bagi menangani perubahan suhu, kemiskinan dan wabak penyakit, belum tertunai.

Tanpa kehadiran Presiden Barack Obama, Perdana Menteri Britain; David Cameron dan Canselor Jerman, Angela Merkel, pada majlis yang dinamakan persidangan Rio+20 itu, Ban kini berusaha melobi pemimpin supaya bersetuju dengan pelan tindakan itu.

“Kita perlu betulkan visi sama ada kita menuju ke arah kemakmuran bersama atau sama ada kita menuju ke arah tragedi kemanusiaan.
“Rundingan amat lembap. Planet ini ada hadnya dan kita perlu lakukan sesuatu untuk generasi akan datang,” katanya Isnin lalu di Arab Saudi ketika menekankan isu kemarau, banjir, kekurangan makanan dan eksploitasi mineral keterlaluan memberi kesan kepada dunia.

Ban berkata, kerajaan perlu lebih fleksibel.

“Mereka perlu bersuara melebihi kepentingan negara atau kumpulan,” katanya.
Persidangan itu akan menyentuh masalah sosial dan alam sekitar yang dihadapi dunia, keselamatan makanan, kesihatan
global, bandar raya yang boleh diduduki, keadaan lautan dan perubahan suhu.
Beribu-ribu muka surat cadangan bagi agenda akhir Rio+20, dikurangkan kepada 20 muka surat dalam rundingan pertama tahun lalu tetapi bertambah kepada 275 halaman dalam perkembangan terbaru.

Negara kaya dan miskin tidak bersetuju bagaimana untuk mendefinisikan ekonomi hijau dan menetapkan pelan untuk pembangunannya. – AFP
Submitted by Unknown at 7:56 AM in: share to:

Bintang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City bakal beraksi di KL

PENYERANG sensasi Argentina, Sergio Aguero; penjaga gol, Joe Hart dan bintang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City semua akan menyertai jelajah pra musim ke Kuala Lumpur menentang Pilihan Malaysia, 30 Julai ini.

Tidak hanya sekadar perlawanan pertunjukan, kunjungan City itu juga menjadi pentas terbaik buat kelab berkenaan mempersiapkan pasukan untuk menghadapi musim baru.
Kaptennya, Vincent Kompany mengakui, kehadiran City pada jelajah pra musim kali ini cukup penting untuk mempersiapkan pasukan dalam misi mempertahankan trofi liga yang dimenangi musim ini selepas 44 tahun.
“Saya gembira berada di sini. Sudah pasti jelajah pra musim ini akan menjadi satu langkah permulaan buat kami untuk mempersiapkan pasukan.

“Ia satu perlawanan menarik kepada penyokong di sini dan mungkin semua pemain akan hadir. Walaupun kurang tahu mengenai pasukan Malaysia, apa yang penting adalah persiapan kami sendiri untuk saingan musim depan,” katanya pada majlis pelancaran Jualan Tiket Jelajah Manchester City di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Pada majlis pelancaran itu, tiket perlawanan persahabatan antara City dan Pilihan Malaysia dijual pada harga RM58, RM68, RM108 dan RM388, bermula hari ini di semua outlet Ticketpro, Ticketpro hotline serta di laman www.ticketpro.com.my. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ProEvent Group, Julian Kam. BHO
Submitted by Unknown at 7:53 AM in: share to:

Malaysia turun 1 lagi anak tangga dari 149 ke 150 senarai Ranking DUNIA

SKUAD bola sepak kebangsaan turun satu anak tangga ke kedudukan 154 dunia dalam ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.
Keputusan seri 0-0 dengan Filipina Jumaat lalu, menyaksikan Malaysia kini mengumpul 151 mata, kurang dua mata berbanding bulan lalu manakala Filipina turut turun satu anak tangga ke kedudukan 149.
Bagi memastikan Malaysia tidak dipintas Singapura yang kini naik satu anak tangga ke kedudukan 157 dunia, skuad kebangsaan tidak boleh tewas pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Jalan Besar, malam esok.

Ini kerana, jumlah mata Malaysia tidak mampu diatasi Singapura jika skuad kendalian Datuk K Rajagobal sekurang-kurangnya menang sekali dan seri sekali pada dua aksi bertemu Singapura, termasuk di Stadium Shah Alam, Selasa depan.

“Kita kena akur dengan ranking FIFA dan tak boleh pertikai cara perkiraannya.
Tapi kekuatan pasukan, kita masih mampu beri saingan biarpun Vietnam di kedudukan 98, Thailand 136, Filipina 149 dan Indonesia 151.
“Untuk pengetahuan, kita sudah hantar permohonan kepada Vietnam untuk aksi persahabatan. Cuma mereka belum beri persetujuan. Kalau jadi, kita boleh tunjukkan sejauh mana pasukan ranking 154 mampu bersaing dengan pasukan ranking 98.

“Jadi untuk bertemu Singapura (esok), fokus kita hanyalah menang. Walaupun ia sekali lagi membabitkan ranking, saya tak mahu jurulatih dan pemain terlalu tertekan memikirkannya,” kata pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal ketika dihubungi. BHO
Submitted by Unknown at 7:44 AM in: share to:

PM jamin selesa buat Nur Suryani

RATU menembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi harus ceria ketika ini dengan ‘perkhabaran melegakan’ daripada Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Perdana Menteri, berkata beliau memberi jaminan segala keperluan, termasuk berkaitan keselamatan dan perubatan jaguh negara itu sepanjang pembabitannya pada temasya Sukan Olimpik London 2012 akan dibiayai.
Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan akan memberi sokongan penuh dan bantuan kepada Nur Suryani. Sementara itu, Nur Suryani ketika dihubungi melahirkan rasa terkejut tetapi gembiranya dengan perkembangan baik ini yang mula menyuntik semangat menyahut cabaran London.

Najib jamin selesa buat Suryani

DATUK Seri Najib Razak berkata, beliau memberi jaminan segala keperluan, termasuk berkaitan keselamatan dan perubatan ratu menembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi sepanjang pembabitannya pada temasya Sukan Olimpik London 2012 akan dibiayai.
Perdana Menteri berkata kesungguhan, ketahanan dan dedikasi Nur Suryani menghadapi cabaran ketika hamil untuk menyertai pertandingan berprestij itu amat disanjung.

Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan akan memberi sokongan penuh dan bantuan kepada Nur Suryani membolehkannya bertanding di Olimpik London.

“Beliau akan ditemani jurulatih dan doktor perubatan kontinjen Malaysia.
Usaha dilakukan mendapat tiket penerbangan untuk suaminya, Marhazli Mhotar serta tiket masuk menyaksikan pertandingan juga sedang diusahakan untuk Marhazli,” kata Najib dalam satu kenyataan di Putrajaya, semalam.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan Nur Suryani yang ingin suaminya, Marhazli menemaninya ketika temasya Olimpik London 2012, bakal direalisasikan apabila Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) – menerusi rangkaian unit berita sukan – sudi menggerakkan inisiatif itu, Julai ini.

Inisiatif itu dianjurkan untuk membolehkan Marhazli hadir sebagai penonton menemani isteri yang kini hamil tujuh bulan itu beraksi - menerusi sumbangan dalam bentuk tiket kapal terbang, penginapan atau bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan.

Sementara itu, Nur Suryani terharu dan gembira dengan jaminan Perdana Menteri dalam usahanya memikul cabaran negara di London nanti.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menaja suami saya ke London,” kata Suryani.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong mengalu-alukan usaha dilakukan MPB dan berharap mungkin tabung itu mungkin boleh dijadikan tabung tetap bagi kes seumpamanya pada masa akan datang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin terhadap atlit negara.

“Tabung dilancarkan Media Prima memang dialu-alukan dan jika kutipannya melebihi kos diperlukan untuk membawa suami Suryani ke London, mungkin kita boleh memulakan tabung tetap untuk masa akan datang,” kata Zolkples. BHO
Submitted by Unknown at 7:21 AM in: share to:

Parti Politik berkempen di TV, Radio

KUALA LUMPUR - Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diberi peluang sama rata menjelaskan manifesto masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan, khususnya stesen televisyen.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagaimanapun berkata pihak berkuasa berkaitan akan menentukan syarat dan had tempoh masa yang sesuai kepada parti politik berbuat demikian.
Anda juga boleh suarakan pendapat di laman Facebook BH Online . Klik sini!
Perkara itu diputuskan selepas kertas Kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses media sama rata membentangkan manifesto, diluluskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pagi semalam.

Katanya, apabila Dewan Rakyat dibubarkan atau pada tempoh berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti politik dibenarkan menjelaskan manifesto masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan badan penyiaran lain.

“Peranan badan penyiar swasta pula akan ditentukan oleh kerajaan selepas ini mengikut hak serta lunas undang-undang sedia ada,” katanya ketika merasmikan Wisma Berita RTM dan Pelancaran Portal Berita serta Arkib Digital, di Angkasapuri, di sini semalam.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D’cruz; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail serta Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaafar.
Dalam pada itu, Rais berkata, untuk memberi kebenaran menyampaikan maklumat, RTM perlu mengikut selera parti politik kerana ia turut diamalkan di negara Komanwel dan negara maju lain yang menetapkan syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

“Misalnya di England, BBC memberi 10 hingga 15 minit untuk menyiarkan manifesto parti politik ketika pilihan raya dengan beberapa syarat yang mereka kenakan. Begitu juga di Singapura dan Thailand. Malah, yang terbaru Myanmar turut memberikan peluang dengan syarat tertentu dalam bentuk amalan yang boleh diterima pelbagai pihak.

“Tentu sekali keputusan ini (memberi akses sama rata) menyebabkan banyak persoalan dan pandangan akan diberi pelbagai pihak, namun kerajaan menerimanya secara terbuka,” katanya.

Rais juga berkata, pembinaan bangunan Wisma Berita RTM mencipta satu sejarah dan mercu kejayaan dalam bidang penyiaran negara.

“Walaupun rumah baru dan alat baru (Wisma Berita RTM) sudah terbina, yang penting adalah profesionalisme harus diutamakan terutama dalam membuat, mengolah dan menyebarkan berita.

“Oleh itu, kita akan melihat sejarah baru ini bagaimana profesionalisme dapat diterjemah dalam pemberitaan, disamping hak untuk mendapatkan liputan yang adil,” katanya. BHO
Submitted by Unknown at 7:07 AM in: share to:

Eden Hazard akan beraksi di Chelsea

LONDON - Eden Hazard mengakui dia memilih untuk menyertai Chelsea selepas menyaksikan kelab gergasi Inggeris itu meraih kejuaraan Liga Juara-Juara menewaskan Bayern Munich pada aksi final penuh dramatik, bulan lalu.

Hazard melengkapkan perpindahan bernilai £32 juta (RM157.4 juta) daripada kelab Perancis, Lille, awal pagi semalam selepas pemain berusia 21 tahun itu pada awalnya dikatakan bakal menyertai Manchester City atau Manchester United berbanding Chelsea.
Perancang tengah Belgium itu dalam keadaan dilema memilih tawaran dan hanya mendedahkan untuk berpindah ke Stamford Bridge selepas tertarik dengan semangat juang pemain Chelsea ketika menang menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Bayern.

“Saya menonton final itu sama seperti orang lain. Ia meletakkan lebih tekanan buat pemain yang sudah pun berada di sini tetapi mereka mampu menanganinya dan saya rasa saya cukup baik untuk menghadapi tekanan.

“Memang benar pada awalnya terdapat tawaran daripada beberapa kelab tetapi apabila Chelsea memenangi Liga Juara-Juara, saya terfikir mengapa tidak mereka.

“Ini adalah keputusan yang rumit untuk dibuat selepas menimbang pelbagai faktor tetapi secara dasarnya Chelsea memiliki pemain hebat dan mereka juara Eropah. Saya fikir ini keputusan tepat,” kata Hazard. – AFP
Submitted by Unknown at 3:44 AM in: share to:

Gempa bumi kuat bermagnitud 5.9 dekat Taiwan
TAIPEI - Gempa bumi kuat bermagnitud 5.9 menggegarkan pesisir pantai tenggara Taiwan, hari ini dan tiada laporan kerosakan harta benda serta kematian diterima.

Biro Cuaca Kebangsaan Taiwan berkata, gempa bumi yang melanda jam 9.08 pagi tadi dikesan pada 52 kilometer (km) pusat gempa iaitu tenggara di bandar Taitung.
Bagaimanapun, Jabatan Kaji selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu dicatatkan pada magnitud 5.7.
Katanya, gempa bumi itu tidak dirasai di ibu kota Taipei, iaitu kira-kira utara 400 km dari pusat gempa. - AP
Submitted by Unknown at 3:38 AM in: share to:

Mulai esok harga petrol RON97 turun 10 sen seliter


KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan harga petrol RON97 turun 10 sen seliter menjadi RM2.80 seliter berkuat kuasa esok.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. BHO
Submitted by Unknown at 3:34 AM in: share to:

Ruangan bersama Syamsul, Nabila kunci soal hati

USIA sudah menginjak 28 tahun, tetapi dua pelakon utama filem Jalan Kembali – Bohsia 2, Syamsul Yusof dan Nabila Huda Shuhaimi masih mengunci rapat mulut berkongsi soal hati dan perasaan.
Syamsul, sekian lama mengulit cinta bersama seorang pelajar berusia 20-an, tetapi masih terus merahsiakan cinta hati yang bertakhta di hatinya. Percintaan Syamsul dan gadis berasal dari Sabah itu sudah lebih dua tahun berlanjutan, tapi anak teruna Datuk Yusof Haslam itu masih belum bersedia beralih fasa baru dalam kehidupannya.
"Diam tak diam, usia sudah menginjak 28 tahun. Niat hati memang mahu berkahwin dan ke arah itu, tapi berilah saya masa lagi. Saya tahu ibu bapa, keluarga dan teman baik sudah muak mahu bertanya". - Syamsul Yusof
Begitu juga anak kesayangan otai rock terkenal, Amy Search ini. Biarpun gosip percintaan Nabila dan Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011, Johan As’ari atau Botak menjadi bualan hangat, apatah lagi mereka dilihat bercuti bersama keluarga ke Jepun, tidak lama dulu tapi mereka lebih selesa berkawan baik.

Kelihatan sedikit berisi, Syamsul akui: “Diam tak diam, usia sudah menginjak 28 tahun. Niat hati memang mahu berkahwin dan ke arah itu, tapi berilah saya masa lagi. Saya tahu ibu bapa, keluarga dan teman baik sudah muak mahu bertanya. Kadang kala apabila kerap bertanya, jadi merajuk pula apabila saya enggan bercerita. Tapi, apa yang dapat saya katakan, saya belum bersedia.

“Soal kewangan rasanya bukan lagi halangan untuk menanggung anak isteri, soalnya diri saya belum bersedia sepenuhnya. Saya masih menjalinkan hubungan baik dengan si dia, tapi setakat ini, kami masih mencari keserasian.

“Apa yang saya nampak adalah persediaan diri saya sendiri. Saya seorang yang sukar nak difahami dan kadang kala mood sering berubah-ubah. Saya perlu mencari seseorang yang betul-betul faham dan tahan dengan jiwa saya.
“Jujurnya, saya belum membawa si dia bertemu dengan ibu bapa saya. Bukan saya mahu mempermainkan hati dan perasaan si dia, tetapi tunggulah masa apabila saya benar-benar yakin.

“Bukan saya tidak berusaha. Ketika mengerjakan umrah tidak lama dulu, saya mohon dipercepatkan jodoh di depan Kaabah. Dulu, saya tidak pernah berdoa soal jodoh, tapi kali empat mengerjakan Umrah, soal jodoh yang saya mohon tapi nampaknya doa saya belum diperkenankan.

“Bukan saya tidak puas berseronok menyebabkan saya menangguh soal jodoh, tapi ia berbalik pada persiapan diri untuk melayari bahtera rumah tangga. Mungkin buat masa sekarang saya belum bersedia berkongsi hidup dengan sesiapa,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem ke tujuh arahannya, Jalan Kembali-Bohsia 2.

Filem Jalan Kembali – Bohsia 2, filem ke 28 terbitan Skop Productions Sdn Bhd akan menjengah pawagam pada Khamis, 7 Jun ini. Selain Syamsul, filem berkenaan turut dibintangi Nabila, Sofi Jikan, Salina Saibi, Zizan Razak dan Mak Jah.

Ketika kisah cinta tidak diperkatakan lagi, timbul pula gosip baru apabila Syamsul dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon dan pengarah baru, Nurul Ain Nordin tidak lama dulu. Beberapa keping gambar mereka berdua-duaan dan sedang berbincang tersebar dalam blog hiburan tidak lama dulu.

Hanya tersenyum sinis, Syamsul akui: “Gosip berkenaan tidak masuk akal. Saya menganggap si penghantar gambar dan emel layang adalah perbuatan khianat yang mahu mencemarkan nama baik saya. Kalau dilihat pada gambar, tidak menunjukkan apa-apa. Saya bukan berkelakuan buruk dengan Nurul Ain.

“Tapi apabila membaca emel layang yang dihantar pada semua blogger, saya anggap ia perbuatan khianat dan fitnah. Saya mengenali Nurul Ain sudah lama. Saya berlakon di bawah arahan Nurul Ain menerusi filem Oh Mak Kau.

“Saya bertemu Nurul Ain ketika berlakon dalam telefilem Maisarah kira-kira tiga, empat tahun lalu. Dia adalah pengurus produksi bagi telefilem itu. Nurul Aini juga pernah menjalani praktikal di Skop Productions, jadi dia adalah kawan lama saya.

“Saya terima tawarannya berlakon dalam filem Oh Mak Kau! kerana saya mahu memberi sokongan kepada pengarah muda sepertinya. Tapi, saya pelik emel layang itu menuduh saya macam-macam, seperti tidak masuk akal. Saya tidak tahu kenapa si penghantar emel layang marah sangat pada Nurul Aini, tapi saya menjadi mangsa,” katanya.

Mengulas filem Jalan Kembali – Bohsia 2, Syamsul berkata ia banyak menyuntik unsur kerohanian dan komedi dalam filem bergenre aksi.

“Saya risau, lambakan filem Melayu di pawagam membuatkan saya lebih teliti dan tidak ambil mudah dalam menghasilkan filem Jalan Kembali – Bohsia 2.

“Filem mat rempit juga sudah banyak, jadi saya perlu memikirkan sesuatu yang berbeza, jadi saya suntik elemen kerohanian. Tidak hanya kisah bohsia tetapi filem ini mampu menyampaikan mesej yang mendalam.

“Alhamdullilah, sehingga kini, saya masih belum ketandusan idea, malah masih banyak lagi idea yang belum dikeluarkan. Saya, seorang tidak berhenti bertanya dan meminta pandangan soal filem. Saya suka berkongsi idea dengan rakan artis dan teman baik supaya apa yang dihidangkan tidak membosankan,” katanya.

Nabila malu bawa watak bohsia

BAGI Nabila Huda, dia mengakui lakonannya dalam Jalan Kembali: Bohsia 2 sebagai Tasha agak keterlaluan seperti yang diperkatakan, tetapi itulah lagak seorang bohsia.

“Pada saya, bohsia bergaya keterlaluan, tingkah laku, bercakap kasar dan menjerit-jerit. Itulah yang cuba saya suntik dalam watak Tasha. Sebenarnya, saya tercabar membawa watak Tasha. Bayangkan dua tahun watak ini ditinggalkan dalam Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, saya nak kena ingat semula karakter yang dilakonkan.

“Saya kena buat homework, tonton semula filem Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam. Watak itu sudah ditinggalkan jauh daripada diri saya. Sebenarnya, saya tiada rujukan sesiapa pun dalam filem ini, saya hanya lihat persekitaran. Lagi satu, saya suka imaginasi, jadi imaginasi saya banyak membantu untuk menghidupkan watak Tasha.

“Saya akui watak bohsia tidak pernah dilakonkan dalam mana-mana drama atau filem sebelum ini. Hanya dalam filem Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam dan Jalan Kembali – Bohsia 2 saja saya berani membawa karakter begini.

“Sebenarnya saya malu nak bawa watak begini, ia tidak lagi sesuai dengan usia dan status saya sebagai ibu, tapi saya cabar diri untuk berlakon sekali lagi,” kata ibu kepada Keisha Laila ini.

Soal cinta, Nabila sudah bosan mengulasnya. Malah, dia tetap berpendirian, Johan adalah teman baik, bukan kekasih hati biarpun ramai yang tersilap perhitungan menganggap mereka bercinta.

“Buat apa saya bercakap bohong, lambat laun peminat dan wartawan akan tahu juga. Saya bukannya jenis hipokrit. Kalau bercinta, saya akan cakap bercinta, kalau tidak, macam mana mahu mengakuinya? Saya ingin tegaskan buat kesekian kalinya, saya dan Johan hanya kawan baik.

“Walaupun kami rapat tapi tiada membabitkan soal perasaan. Saya rasa biarlah kami kekal sebagai kawan baik, itu lebih bermakna dan berkekalan. Jika terbit perasaan, apabila bergaduh cepatlah putus kawan. Saya akui gembira hidup sendiri bersama anak, Keisha. Bagi saya, cinta memang indah, tapi ia juga menyusahkan. Saya bukannya serik tetapi belum terfikir ke arah membina rumah tangga sekali lagi.

“Bohonglah kalau tak teringin mahu bahagia seperti pasangan suami isteri lain tetapi saya percaya pada jodoh. Saya tidak terlalu mengharap, kalau ada jodoh, saya terima dengan hati terbuka. Lagipun, saya tidak terlalu mengharap pada lelaki. Sejak dulu, saya biasa hidup berdikari dan mencari rezeki dengan titik peluh sendiri,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Udin Glamor Balik Kampung. BiPop


Info Syamsul
NAMA PENUH: Mohd Shamsul Yusof Haslam
USIA: 28 Tahun
TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
+PENDIDIKAN: Diploma Penyiaran dari Akademi TV3
DRAMA ARAHAN: Sembilu Kasih, Gerak Khas dan Air Mata Maria
DRAMA LAKONAN: Farah Syakirah, Maisarah, Ameera & Tanah Kubur
FILEM: Evolusi KL Drift 1 & 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Khurafat, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, Jalan Kembali – Bohsia 2, KL Gangster 2 & Oh Mak Kau
PENCAPAIAN: Anugerah Khas Juri untuk filem keberkesanan aksi lasak menerusi Evolusi KL Drift pada Festivel Filem Malaysia ke-21 (FFM21), Pengarah Terbaik FFM23 melalui Evolusi KL Drift 2 & Anugerah Yasmin Ahmad (Anugerah Skrin 2011).

Info Nabila
NAMA: Nabila Huda Suhaimi
TARIKH LAHIR: 2 Disember 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
USIA: 28 Tahun
ANAK: Keisha Laila
ANTARA DRAMA: Impak Maksima, Di Luar Itu Bukan Syurga, Golliwog, Diari Dewi, Serkam Cinta, Kerana Budi, Cinta Untuk Ain, Sutra Maya, Sari Maya, Cinta Dia, Tanah Kubur, Deru Ombak, Sijundai, Laila Manja
FILEM: Rock, Bohsia, Akhirat, Jalan Kembali – Bohsia 2
TEATER: Natrah
Submitted by Unknown at 3:29 AM in: share to:

Pengguna China pemacu jenama mewah

PENGGUNA China akan menjadi pembeli utama barangan berjenama mewah, perkakasan rumah berharga dan percutian mahal ke luar negara, menjelang 2015, demikian mengikut kaji selidik oleh Kumpulan Perunding Boston, semalam.
“Kami menyasarkan menjelang 2020, lebih daripada 330 bandar di China akan mempunyai tahap perbelanjaan pendapatan yang seperti dicatatkan di Shanghai pada 2010. Berdasarkan itu, menjelang 2015 China akan menjadi pasaran mewah terbesar dunia,” kata BCG.
Tahun lalu, Pakar Broker Asia, CLSA menjangkakan China akan menjadi pasaran barangan mewah terbesar dunia menjelang 2020, manakala PriceWaterhouseCoopers (PWC) juga mengunjurkan keadaan sedemikian menjelang 2015.

“Beberapa peneraju perniagaan jenama mewah utama percaya hampir 40 peratus daripada jualan globalnya kini disumbangkan pengguna China,” kata BCG dalam notanya.

Pengarah Bersekutu BCG, Olivier Abtan berkata kepada AFP: “Terdapat dua kelompok China, iaitu kelompok yang tinggal di China dan kelompok yang menetap di luar negara.

“Kelompok kedua ini menggunakan jumlah yang hampir sama banyak dengan kelompok yang pertama, atau mungkin lebih.”
Kumpulan perunding itu menganggarkan separuh daripada pembelian mewah dilakukan oleh warga negara Brazil dan China ketika melancong ke luar negara, yang mana dijangka akan meningkat pada masa depan.

Abtan mengunjurkan jenama mewah tempatan juga semakin berkembang di ekonomi baru muncul dengan mengatakan; “Kita perlu bersedia untuk ekonomi baru muncul ini menjadi peneraju dalam sektor barangan mewah.” – AFP
Submitted by Unknown at 3:18 AM in: share to:

Semua guru baru wajib memiliki ijazah menjelang 2020

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menyambut baik cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua guru baru memiliki ijazah menjelang 2020 sebagai syarat menyertai profesion perguruan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata langkah tersebut bagi memastikan guru baru yang terpilih untuk mengajar di sesebuah sekolah adalah mereka yang benar-benar mempunyai kualiti sebagai seorang pendidik.
"Ia cadangan yang bagus malah pada saya tempoh 2020 wajar diawalkan kepada 2017 berdasarkan sistem pendidikan yang jauh lebih baik disediakan kerajaan pada hari ini, sebagai contoh peluang yang disediakan kepada bakal guru untuk menyambung pengajian tanpa perlu membuat sebarang bayaran.
"Justeru, sebaik sahaja tamat pengajian dalam tempoh tiga hingga empat tahun mereka (guru baru) boleh keluar dan terus mengajar di tempat yang ditetapkan dengan kelayakan ijazah yang diperoleh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini berhubung beberapa cadangan yang terkandung dalam Pelan Pendidikan Strategik Interim: Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2012.

Antara kandungan laporan tersebut ialah mewajibkan setiap guru baru memiliki ijazah menjelang 2020 serta pemberian biasiswa pendidikan kepada guru cemerlang yang mendapat purata gred 3.0 ketika pengajian bermula tahun depan.

Ia turut menyentuh mengenai khidmat bantuan jurulatih kepada guru baru, program latihan yang membabitkan agensi tempatan dan antarabangsa, menggalakkan guru baru menceburkan diri dalam bidang kemasyarakatan serta pendidikan formal kanak-kanak seawal usia lima tahun.
Hashim turut mengalu-alukan cadangan kerajaan memberikan bantuan jurulatih dan biasiswa pendidikan kepada bakal guru yang memperoleh keputusan cemerlang ketika pengajian kerana ia menggalakkan golongan tersebut menjadi pendidik yang bertanggungjawab dan berdaya saing.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan menyediakan pendidikan formal seawal usia lima tahun bagi kanak-kanak di negara ini, Hashim berkata ia adalah pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka pada usia yang lebih awal atau sebaliknya ke sekolah.

"Pendidikan adalah bebas dan bersifat pilihan individu...maka ia terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka sewal usia lima atau enam tahun ke sekolah bergantung kepada kemampuan dan juga keupayaan kanak-kanak itu sendiri.

"Saya menyokong sekiranya ibu bapa mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan formal seawal usia lima tahun namun dalam masa yang sama tahap keupayaan setiap kanak-kanak adalah berbeza...dalam isu ini unsur paksaan tidak harus berlaku terhadap anak-anak oleh ibu bapa," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata cadangan mewajibkan semua guru baru mempunyai ijazah menjelang 2020 adalah satu pendekatan yang positif kerana pendidikan adalah intipati penting dalam pembangunan negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, dalam konteks dasar langit terbuka pada hari ini peranan pendidik sangat diperlukan bagi membantu ibu bapa memantau aktiviti anak mereka terutama ketika berada di kawasan sekolah.

"Jika kita masih mengambil guru yang kurang ilmu, saya bimbang mereka tidak mampu menjalankan tugas mereka dengan baik sekaligus tidak dapat menangani masalah dan memimpin murid ke arah yang lebih baik.

"Mengenai pemberian biasiswa, ia adalah inisiatif yang baik kerana di samping menghargai kecemerlangan mereka, kita juga secara tidak langsung berupaya melahirkan golongan pendidik yang mampu bersaing dengan kelebihan yang ada pada pendidik negara luar seperti di Singapura, Korea Selatan dan Jepun," katanya.

Mohamed Sabri turut menasihatkan guru-guru baru diberikan pendedahan yang lebih meluas dalam isu kemasyarakatan bagi mengelakkan mereka menghadapi sebarang kesulitan apabila dihantar bertugas ke sesebuah daerah apabila diarahkan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata sama ada seorang guru baru itu mempunyai ijazah atau tidak bukanlah menjadi perkara utama sebaliknya sikap dan profesionalisme golongan itu yang wajar dijadikan keutamaan.

"Pihak kami tidak mempunyai halangan berhubung cadangan tersebut namun apa yang penting adalah sikap guru itu sendiri yang mampu menjalankan tugas mereka dengan baik berasaskan tiga perkara iaitu ASK 'Attitude, Skills dan Knowledge (Sikap, Kemahiran dan Pengetahuan)'.

"Profesionalisme seorang guru sangat penting kerana bukan ijazah berjela yang kami pihak PIBG pandang tapi tahap dedikasi mereka terhadap profesion perguruan termasuklah dalam aspek mengajar, kesabaran serta proaktif," katanya.

Mohd Ali berkata, mempunyai ijazah asas dalam jurusan sama seperti yang diajar juga perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan guru berasa terbeban dan keliru dengan mata pelajaran yang diajar.

Selain itu, katanya, guru baru sememangnya diharapkan dapat melibatkan diri mereka dalam bidang kemasyarakatan kerana tugas sebagai pendidik bukan sahaja terhad di sekolah. - BERNAMA
Submitted by Unknown at 3:16 AM in: share to:

Virus komputer Flame sasar fail di Iran
MOSCOW - Virus komputer Flame yang ditemui bulan lalu selepas serangan siber besar-besaran dilancarkan terhadap Iran bertujuan untuk mencuri pelan reka bentuk dan fail PDF.

Kaspersky Lab menyifatkan virus Flame sebagai perisian jahat (malware) terbesar dan paling canggih setakat ini.
Mengikut maklumat terkini hasil analisis Kaspersky mengenai virus itu, kelmarin, ketua pakar keselamatan syarikat itu, Alexander Gostev, berkata pencipta virus itu memfokuskan format fail seperti PDF dan AutoCAD, iaitu perisian komputer untuk mereka bentuk.
“Penyerang kelihatan mempunyai minat mendalam dalam lukisan AutoCAD,” kata Gostev dalam satu kenyataan.

Katanya, Malware juga melihat PDF, teks fail dan dokumen lain.
“Ia juga mencari emel dan pelbagai jenis fail menarik (nilai tinggi) yang dilakukan mengikut program malware itu,” tambahnya. – AFP
Submitted by Unknown at 6:04 PM in: share to:

China desak kedutaan luar asing berhenti menerbitkan laporan udara

BEIJING - Pihak berkuasa alam sekitar China memberitahu kedutaan luar asing semalam supaya berhenti menerbitkan laporan mereka berhubung kualiti udara di negara itu dengan merujuk kepada mesej Twitter Kedutaan Amerika Syarikat yang mengesan pencemaran di bandar negara itu yang berjerebu.

Wu Xiaoqing, seorang timbalan menteri alam sekitar memberitahu media dalam satu taklimat di sini, hanya kerajaan China diberi kuasa memantau dan menerbitkan maklumat kualiti udara dan memberi amaran bahawa data daripada sumber lain mungkin tidak seragam atau tidak tepat.
Kedutaan Amerika memberi bacaan setiap jam kualiti udara bandar ini menerusi maklumat Twitter yang mengumpul lebih 19,000 pengikut sejak ia diwujudkan pada 2009. Ia menggunakan garis panduan ketat untuk kadar pencemaran yang ditetapkan kerajaan China.
Wu berkata, adalah tidak adil untuk menghakimi udara China mengikut standard Amerika kerana China adalah sebuah negara sedang membangun.

Katanya, Amerika secara berperingkat memperketat garis panduan alam sekitarnya dari semasa ke semasa.

“Piawai yang digunakan China mengambil kira paras peringkat pembangunan terkini. Menurut konvensyen antarabangsa, diplomat perlu menghormati dan akur kepada undang-undang di negara penerima mereka. Mereka juga tidak boleh campur tangan dalam isu domestik negara berkenaan.

“Kami harap kedutaan dan konsulat akan menghormati undang-undang China dan berhenti menyiarkan data mutu udara,” kata Wu.
Beijing kerap diliputi jerebu kuning. Bangunan sejauh beberapa blok tidak jelas kelihatan, namun rekod indeks kualiti udara rasmi ibu kota ini mencatat tahap pencemaran sebagai ‘ringan’ - bacaan yang pelik kerana ia tidak dirasai oleh kebanyakan penduduk.

China mensyaratkan kepekatan partikel halus digelar PM2.5 di bawah purata harian 75 mikrogram setiap meter padu - dua kali ganda lebih ringan berbanding standard di Amerika. – AP
Submitted by Unknown at 5:46 PM in: share to:

Pengarah syarikat saman Ras Adiba Radzi berjumlah RM3.2 juta

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat memfailkan saman berjumlah RM3.2 juta terhadap personaliti televisyen, Ras Adiba Mohd Radzi, kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian penjualan saham.

Nik Fauzi Nik Hussein, Pengarah Inki Plas Holding Sdn Bhd, memfailkan writ saman tersebut pada 3 Mei lalu menerusi Tetuan KC Tang & Co di Mahkamah Tinggi di sini.
Kes tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Pendaftar Norhanum Hassan dengan dihadiri peguam Datuk Mohd Haziq Pillay bagi pihak Ras Adiba dan Mohammad Shafie Afendi, mewakili Nik Fauzi.
Haziq memberitahu pemberita bahawa Norhanum menetapkan 27 Jun untuk pengurusan kes.

Menerusi pernyataan tuntutan, Nik Fauzi mendakwa beliau mempunyai pegangan saham di dalam syarikat Inki Plas Holding Sdn Bhd sebanyak 65 peratus dan bersetuju menjual semua saham tersebut kepada Ras Adiba.

Nik Fauzi berkata, pada 24 Julai 2006, beliau dan Ras Adiba memeterai perjanjian penjualan saham dan ia disetemkan pada 2 Ogos 2006.

Dakwanya, Ras Adiba mempunyai kuasa dan kawalan terhadap pengstrukturan syarikat dan ia menjadi tujuan Ras Adiba membeli saham tersebut.
Nik Fauzi berkata, Ras Adiba bagaimanapun mengabaikan dan gagal membantu mengukuhkan syarikat hingga menyebabkan ia berdepan dengan masalah kewangan.

Dakwanya lagi, Ras Adiba sepatutnya membayar liabiliti syarikat berjumlah RM3.2 juta tetapi gagal berbuat demikian dan memungkiri perjanjian.

Selain ganti rugi berjumlah RM3,288,172 beliau turut menuntut deklarasi bahawa defendan memungkiri Perjanjian Penjualan Saham bertarikh 24 Julai 2006, faedah pada kadar empat peratus setahun, kos dan relif lain. - BERNAMA
Submitted by Unknown at 5:10 PM in: share to:

Google bersetuju beli Meebo

GOOGLE bersetuju untuk membeli firma yang menawarkan kemudahan mesej dalam talian Meebo, sebagai langkah memperluaskan keupayaannya menyediakan perkhidmatan perkongsian segera laman web menggunakan rangkaian sosial.

Bagaimanapun, terma perjanjian pembelian syarikat blog Meebo yang diumumkan kelmarin tidak dinyatakan.
Namun, berdasarkan laporan di laman web All Things Digital milik Dow Jones bulan lalu, harganya mungkin mencecah sekitar AS$100 juta.
“Kami amat gembira mengumumkan Meebo kini sudah menyertai perjanjian untuk dimiliki oleh Google!

“Lebih tujuh tahun kami membantu pihak penerbitan mencari hubungan yang lebih mendalam dengan pengguna mereka dan bagi memastikan laman web mereka lebih sosial dan menawan.

“Maka bersama Google, kami kini semakin agresif untuk mencari langkah dan cara yang lebih baik bagi membantu pengguna dan pemilik laman web,” kata blog syarikat itu.

Meebo, syarikat milik persendirian, mendakwa mempunyai penguasaan pasaran hampir separuh daripada pengguna Internet di Amerika Syarikat (AS) menerusi kemudahan ‘Meebo bar’ yang membolehkan pengguna memberikan maklum balas dan berkongsi laman web menerusi rangkaian sosial.
Meebo bar boleh disesuaikan dan ditambah di mana-mana laman tanpa melakukan pengubahan pada kod pengaturcara laman web. – AFP
Submitted by Unknown at 4:45 PM in: share to:

Syria mengisytiharkan haram diplomat asing

DAMSYIK - Syria mengisytiharkan diplomat dari negara Barat dan Turki sebagai orang yang dilarang masuk ke negara itu atau digelar 'persona non grata.'
Kementerian Luar Syria berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap duta Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Turki, sebagai membalas pengusiran diplomatnya daripada negara berkenaan.
Negara Barat mengusir diplomat Syria berikutan pembunuhan beramai-ramai akhir Mei lalu yang menyaksikan 108 orang terbunuh di tengah pekan Houla, satu daripada perbuatan kejam paling buruk di negara itu sejak kebangkitan penduduk meletus mulai Mac 2011.
“Ada negara baru-baru ini memaklumkan ketua misi dan kakitangan kedutaan kami tidak dialu-alukan di negara mereka,” menurut satu kenyataan.

Malah, kenyataan itu juga memaklumkan tindakan sama ke atas duta Kanada, Itali, Sepanyol dan kakitangan kedutaan dari Belgium, Bulgaria dan Jerman.

Ia menekankan, Syria masih percaya kepada dialog berdasarkan dasar kesaksamaan dan hormat menghormati dan diplomat adalah alat sesuai untuk negara menyelesaikan sengketa.

“Kami berharap negara itu akan memegang kepada prinsip yang sama dengan membenarkan hubungan kembali normal,” katanya.
Negara Barat mengusir diplomat Syria berikutan pembunuhan beramai-ramai akhir Mei lalu yang menyaksikan 108 orang terbunuh di tengah pekan Houla, satu daripada perbuatan kejam paling buruk di negara itu sejak kebangkitan penduduk meletus mulai Mac 2011.

Di medan konflik, anggota tentera dan militia pro pemerintah dibantu kereta perisai melakukan serangan terhadap pemberontak, merampas pekan tengah Kfar Zita selepas mengebom tiga hari, kata agensi Hak Asasi Pemantauan Syria, sambil menambah pemberontak sudah berundur.

Kumpulan militia pro kerajaan juga merompak rumah dan kedai selepas penduduk melarikan diri, dakwa pemerhati.

Difahamkan, empat orang awam terbunuh semalam dalam operasi ketenteraan besar-besaran di kawasan Kfar Oweid, Idlib, wilayah yang bersempadan dengan Turki yang juga kubu kuat pasukan pemberontak.

Pemberontak dan militia berkenaan turut bertempur di beberapa kawasan di wilayah barat laut Syria, kata pertubuhan hak asasi Observatory yang berpejabat di Britain.

Ia berkata beberapa daerah bandar Homs, juga di utara Damsyik, diserang bedilan artileri, sebahagian taktik askar kerajaan menghancurkan penentang.

Di Latakia, satu kawasan dekat rantau Mediterranean, dua pemberontak terbunuh kerana serangan tentera kerajaan terhadap pekan al Hafa.

Salah seorang yang terbunuh itu adalah pegawai yang belot daripada pasukan tentera dan menyertai pemberontak. – AFP
Submitted by Unknown at 4:25 PM in: share to:

KWSP meraih pendapatan pelaburan RM7.74 bilion

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM7.74 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, melonjak 18.52 peratus daripada RM6.53 bilion yang diraihnya dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata peningkatan ketara itu didorong oleh prestasi pasaran ekuiti yang amat menggalakkan.
Prestasi pelaburan KWSP dipacu terutama daripada keuntungan ekuiti dengan memanfaatkan pasaran ekuiti yang positif menerusi aktiviti pengambilan untung pada suku pertama tahun ini, - Tan Sri Azlan Zainol, Ketua Eksekutif KWSP
“Prestasi pelaburan KWSP dipacu terutama daripada keuntungan ekuiti dengan memanfaatkan pasaran ekuiti yang positif menerusi aktiviti pengambilan untung pada suku pertama tahun ini.

“Keputusan ini menunjukkan kejayaan pendekatan pelaburan KWSP yang aktif dan berdisiplin yang membolehkan KWSP bertindak terhadap peluang yang diperolehnya,” katanya dalam kenyataan mengumumkan prestasi kewangan pengurus dana persaraan itu bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu.

Dalam tempoh dikaji, pasaran ekuiti memberikan pulangan pelaburan sebanyak RM3.62 bilion, meningkat 12.08 peratus daripada RM3.23 bilion yang dicatatkan suku sama sama tahun lalu.

Pinjaman dan bon menjadi penyumbang kedua terbesar dengan menjana pendapatan RM2.49 bilion, meningkat 40.68 peratus daripada RM1.77 bilion dicatatkan tempoh sama sebelumnya.
Antara transaksi pelaburan terbesar KWSP sepanjang suku pertama tahun ini termasuk langganan sukuk global yang dikeluarkan PLUS Bhd berikutan penswastaan PLUS Expressways Bhd pada Disember 2011.

Azlan berkata, dengan sebahagian besar aset KWSP dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah yang memberikan pulangan yang rendah, memaksimumkan pulangan bukannya satu tugas yang mudah.

“KWSP perlu melabur semula aset sudah matang yang sebelum ini memberikan pulangan lebih tinggi, dengan mengambil kira keseimbangan antara keuntungan lumayan dan pelaburan selamat berpandukan selera pulangan risiko sebagai sebuah dana persaraan,” katanya.

Sehingga 31 Mac lalu, aset pelaburan KWSP meningkat sebanyak RM38.28 bilion kepada RM488.54 bilion berbanding RM450.26 bilion pada 31 Mac tahun lalu.

Jumlah caruman yang diterimanya dalam tempoh suku pertama tahun ini berjumlah RM12.74 bilion, melebihi jumlah pengeluarannya iaitu sebanyak RM8.42 bilion, menjadikan aliran dana masuk bersihnya berjumlah RM4.32 bilion.

Sementara itu, pengurus dana persaraan antara yang tertua di dunia itu memperuntukkan 13.96 peratus daripada jumlah pelaburannya bagi pelaburan di luar negara.

“Sebagai tambahan kepada pegangan ekuiti global, KWSP merancang meningkatkan pelaburan di luar negara dalam hartanah dan infrastruktur serta sukuk dan bon konvensional, dengan mengambil kira peluang yang baik, pergerakan dan arah pasaran.

“Secara beransur-ansur KWSP akan meningkatkan pendedahan pelaburan di luar negara kepada 18 hingga 19 peratus daripada jumlah pelaburannya,” kata beliau.

Azlan bagaimanapun menegaskan, KWSP akan sentiasa berhati-hati dan amat memilih pelaburannya dalam pasaran global dan hanya melabur selepas kajian teliti dibuat.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketidaktentuan persekitaran ekonomi global, khususnya krisis hutang negara di Eropah, akan terus memberikan kesan kepada prestasi pelaburan KWSP.

“Sementara KWSP menjangkakan tahun ini sebagai tahun yang sukar, KWSP tetap berpegang teguh kepada pendekatan strategi peruntukan aset jangka panjang yang memberikan ketahanan dalam menghadapi keadaan pasaran yang mencabar masa kini,” katanya. BHO
Submitted by Unknown at 4:10 PM in: share to:

Syirik, penyebab hancur segala amalan

ALLAH mengutuskan seorang rasul agar mengajak kaumnya kepada tauhid, yakni memurnikan ibadah dan penyembahan hanya kepada Allah semata.
Perintah untuk bertauhid ini berupa larangan keras daripada berbuat syirik atau menyekutukan Allah dengan selain-Nya. Seluruh ulama sepakat mengatakan bahawa tiada amalan yang paling utama melebihi tauhid dan tidak ada dosa paling besar yang melebihi syirik.
Syirik adalah dosa terbesar di antara dosa besar, amal perbuatan yang terburuk, kezaliman yang paling besar dan menjadi sebab hancurnya seluruh amalan seseorang. Syirik juga dosa yang tidak diampun. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah An-Nisa :Ayat 48).
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah An-Nisa :Ayat 48).
Orang yang berbuat syirik, bererti dia berada dalam kesesatan yang sangat jauh. Firman Allah SWT bermaksud: “Barang siapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” (Surah An-Nisa`: Ayat 116).

Allah SWT telah menyatakan haram masuk syurga bagi pelaku syirik. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang zalim itu seorang penolong pun.” (Surah al-Maidah: Ayat 72).

Menyedari hakikat ini, maka berwaspada dan berhati-hatilah daripada perbuatan syirik, baik syirik besar mahupun syirik kecil. Syirik besar ialah seperti meminta dan berdoa kepada selain Allah, meyakini ada pencipta dan pemelihara alam selain Allah, berkeyakinan bahawa selain Allah ada yang berhak diibadahi, dan masih banyak lagi contoh lainnya.

Namun, syirik kecil terkadang terlepas daripada perhatian kita. Masih ada sebahagian kaum Muslimin yang terjebak dalam syirik kecil tanpa mereka sedari. Syirik kecil adalah antara hal yang sangat dikhuatirkan Rasulullah SAW dan dapat menjadi wasilah atau perantara kepada syirik besar.
Walaupun syirik kecil ini tidak menyebabkan pelakunya keluar daripada Islam dan tidak menyebabkan kekal di neraka, tetapi ia kaba’ir atau dosa besar. Syirik kecil termasuk salah satu dosa besar, bukan dosa kecil.

Antara contoh bentuk syirik kecil ialah riak` dalam beribadah, iaitu seseorang melakukan sesuatu ibadah atau bentuk pendekatan diri kepada Allah, namun di samping itu dia bertujuan agar dilihat atau dipuji oleh sesama manusia. Riak adalah bentuk syirik tersembunyi (syirik khafi) yang sangat dikhuatirkan oleh Rasulullah SAW menimpa sahabat baginda.

Antara cara berlindung kepada Allah daripada syirik, baik syirik yang kita ketahui mahupun yang tidak kita sedari ialah dengan sentiasa memperbaiki niat dan keikhlasan dalam setiap amal perbuatan yang kita lakukan. Allahlah yang paling berhak mendapat segala bentuk peribadatan.

Antara bentuk syirik kecil ialah bersumpah dengan menyebut selain Allah. Hal itu termasuk dalam kekufuran atau kesyirikan. Rasulullah bersabda bermaksud: “Barang siapa yang bersumpah dengan selain Allah maka sungguh dia telah kafir atau telah syirik.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud dan at-Tirmidzi).

Ucapan juga boleh membawa kepada syirik kecil seperti ucapan: “Atas kehendak Allah dan kehendak anda” atau ucapan “Kalau bukan kerana Allah dan si polan”, “Ini adalah berkat pertolongan Allah dan si polan,” serta ucapan semisal itu, yang intinya ada pensejajaran antara Allah dan manusia.

Ucapan seperti ini adalah ucapan syirik. Oleh itu ia harus diluruskan. Yang benar daripada ucapan di atas ialah: “Atas kehendak Allah kemudian kehendak anda” atau: “Kalau bukan kerana Allah kemudian kerana anda,” atau, Berkat pertolongan Allah kemudian pertolongan anda" demikian seterusnya.

Contoh lain syirik kecil ialah ‘tathayyur’, iaitu berasa sial atau naas kerana melihat jenis burung atau binatang tertentu, atau berasa sial dengan angka, hari dan tanggal tertentu.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Thiyarah ialah syirik, thiyarah adalah syirik dan tidak ada seorang pun daripada kita, kecuali Allah Azza Wajalla menghilangkannya dengan tawakal.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmidzi).

Perbuatan syirik kecil lain ialah memakai gelang daripada benang dan lainnya kepada anak dengan tujuan untuk menolak bahaya atau bala, memakai dan menggantungkan azimat tertentu untuk mencegah pengaruh ain dan mendatangkan keberuntungan dan yang semisal dengannya”.

Ia adalah bentuk kesyirikan kepada Allah kerana ia mengotori tawakal dan mencemari tauhid kita kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW mengenai orang yang memakai azimat yang bermaksud: “Barang siapa yang menggantungkan azimat, maka dia telah syirik.” (Hadis Riwayat: Ahmad).

Dalam masalah azimat ini, ia termasuk dalam kategori syirik kecil, jika pemakainya berkeyakinan bahawa azimat itu hanya adalah sebab atau sarana saja. Jika dia bergantung secara mutlak dan berkeyakinan bahawa azimat itu dapat memberi perlindungan, maka pemakainya telah terjerumus dalam syirik akbar. BHO
Submitted by Unknown at 4:04 PM in: share to:

Remaja berusia 13 tahun menjadi mangsa rogol kenalan facebook

IPOH - Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun menjadi mangsa rogol seorang kenalan yang dikenali dari laman sosial Facebook selepas terpedaya dengan janji manis serta pemberian barang kemas daripada remaja lelaki terbabit.
Pelajar Tingkatan Satu itu mula mengenali remaja berusia 16 tahun dan sering berhubung menerusi Facebook sebelum membuat keputusan mengadakan pertemuan kali pertama pada 25 Mei lalu.
Adik saya turut akui menerima pelbagai barang kemas, termasuk rantai dan cincin. - Lee, Abang mangsa
Malah, mangsa ponteng sekolah beberapa hari dan bersembunyi dua hari di rumah keluarga pasangannya itu untuk melepaskan rindu sebaik berjumpa sehingga menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 3 petang, 25 Mei kerana anak mereka tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, mangsa ditemui selamat selepas dihantar ibu teman lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 29, berkata dia mengesyaki perubahan sikap ketara pada adiknya selepas menjalinkan perkenalan dengan teman lelakinya itu, termasuk sering ponteng sekolah, mengabaikan pelajaran dan berubah sikap.

“Adik saya turut mengakui pernah menerima pelbagai barang kemas, termasuk rantai dan cincin emas dihadiahkan remaja itu.
“Saya percaya lelaki itu memperdayakan adik saya dengan pelbagai hadiah sebelum bertindak merogolnya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) di sini, semalam.

Katanya, dia dan keluarga meminta polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap remaja lelaki terbabit, termasuk ahli keluarga lelaki itu kerana bersubahat menyembunyikan adiknya selama dua hari di rumah mereka.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kes rogol yang berpunca daripada perkenalan di laman sosial sejak tahun lalu.

Katanya, empat daripada kes berkenaan membabitkan kes rogol di mana kebanyakan mangsanya berusia lingkungan antara 13 hingga 20 tahun.

“Justeru, saya meminta ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengawasi tingkah laku anak masing-masing. Selain itu, pihak polis juga perlu memandang serius tingkah laku pelajar mereka dan segera memaklumkan kepada ibu bapa pelajar bagi mengelak masalah terus berlarutan,” katanya. BHO
Submitted by Unknown at 3:46 PM in: share to:

3 Remaja Perempuan Maut, ketika buat pusingan U

LANGKAWI - Tiga remaja perempuan yang menaiki sebuah motosikal tanpa topi keledar, maut dilanggar sebuah van ketika membuat pusingan U di Padang Gaung, di sini tengah malam kelmarin.

Yasmin Johari, 17, dan Nor Hazwani Mansor serta Nur Afipah Ainaa Ridzuan, masing-masing 16 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Yasmin adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Mahsuri, manakala dua lagi dipercayai pelancong. Kejadian jam 12 tengah malam itu berlaku di persimpangan lampu isyarat ketika mereka menaiki motosikal dari arah Kuah menghala Ulu Melaka.
Mayat dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarga, tengah hari semalam.

Ketua Polis Langkawi, Superintendan Harith Kam Abdullah, berkata berdasarkan maklumat, motosikal dilanggar van pelancong dari arah Ulu Melaka yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.

“Siasatan awal mendapati van terbabit gagal mengelak motosikal yang cuba melakukan pusingan U, sebelum merempuhnya. Pemandu van berkenaan selamat,” katanya.

Harith berkata polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi polis untuk membantu siasatan. BHO
Submitted by Unknown at 11:39 AM in: share to:

Demi berjihad Osama hidup bersederhana
LONDON - Pengasas al-Qaeda, Osama bin Laden, menjalani kehidupan berjimat cermat, memperuntukkan semua kemewahan peribadinya untuk menyerang kepentingan Barat dan menyediakan makanan lazat untuk tetamu, kata Ayman al-Zawahiri.
Dalam video terbaru yang disiarkan secara online bertajuk ‘Hari-hari bersama imam, Bahagian Kedua,’ Zawahiri, yang mengambil alih kepemimpinan al-Qaeda selepas pembunuhan Osama setahun lalu, menceritakan semula kehidupan ketuanya yang selesa dengan kehidupan tidak seberapa.
“Apabila memasuki rumahnya, anda akan terperanjat. Hiasan rumahnya amat ringkas, dengan beberapa katil kayu dan sedikit perabot. Jika beliau menjemput kami ke rumah, beliau akan menjamu kami makan roti, sayur dan nasi - apa saja yang ada beliau akan sediakan untuk kami,” katanya.
Osama terbunuh di Pakistan Mei lalu dalam serangan tengah malam oleh pasukan khas Amerika Syarikat, menamatkan usaha memburunya selama 10 tahun.

“Beliau membelanjakan wangnya untuk jihad,” kata Zawahiri, sambil menambah Osama memberi sumbangan AS$50,000 (RM150,000) untuk membantu membiaya pengeboman kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania pada tahun 1998.

Pada masa itu, Osama cuma memiliki harta tidak sampai AS$55,000 (RM165,000).

Zawahiri kadang-kadang ketawa ketika mengingatkan kembali memori bersama Osama, yang dikatakan menggesa pejuang mujahidin tidak menggunakan bekalan elektrik sebagai persiapan untuk kesukaran hidup dalam pelarian.
Di sebalik kesederhanaan kehidupannya, Osama adalah hos yang pemurah dan pernah membeli sekawan biri-biri untuk memasak makanan untuk pelawatnya dari Afghanistan.

“Beliau dikenali pemurah dengan tetamu. Beliau akan menyembelih ternakan untuk mereka dan memberikan mereka makanan yang lazat,” katanya.

Zawahiri adalah orang kuat Osama dan menjadi perancang kebanyakan strategi al-Qaeda untuk sekian lama. – Agensi
Submitted by Unknown at 11:33 AM in: share to:

Seramai 8,000 orang amah Indonesia di ambil sebulan
KUALA LUMPUR - Kira-kira 8,000 pembantu rumah Indonesia akan memasuki negara ini setiap bulan bagi menampung keperluan dan permintaan majikan di Malaysia.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PIKAP), Datuk Raja Zulkepley Dahlan, berkata jumlah berkenaan adalah anggaran kemasukan untuk memenuhi kira-kira 100,000 permohonan khidmat pembantu rumah.
Justeru, beliau khuatir sama ada Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersedia menerima gelombang kemasukan pembantu rumah dan memastikan semua proses permohonan berjalan lancar.
"Dengan peraturan baru berdasarkan memorandum persefahaman (MOU) yang dipersetujui, semua permohonan majikan yang dikemukakan kepada agensi perlu melalui JTK dan Imigresen terlebih dulu. Adakah pihak berkenaan bersedia memastikan proses permohonan dipenuhi dalam tempoh dijanjikan." - Datuk Raja Zulkepley Dahlan, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PIKAP) “Dengan peraturan baru berdasarkan memorandum persefahaman (MOU) yang dipersetujui, semua permohonan majikan yang dikemukakan kepada agensi perlu melalui JTK dan Imigresen terlebih dulu. Adakah pihak berkenaan bersedia memastikan proses permohonan dipenuhi dalam tempoh dijanjikan,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam kelmarin bahawa Malaysia memerlukan kira-kira 100,000 pembantu rumah Indonesia bagi menampung permintaan.
Raja Zulkepley berkata, pihaknya menerima hampir 80,000 permohonan pembantu rumah warga Indonesia dan jumlah itu terus meningkat.
Katanya, mengikut taklimat kepada agensi, proses oleh Imigresen akan mengambil masa hampir dua minggu dan JTK dalam tempoh tiga hari.
"Saya harap proses permohonan lancar walaupun dengan kemasukan besar-besaran pembantu rumah dan agensi pekerjaan tidak dipersalahkan jika berlaku kelewatan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo, berkata pihaknya berusaha menambah kemasukan pembantu rumah Indonesia tetapi mereka tidak boleh menghantar pembantu rumah ke negara ini hanya dalam seminggu atau sebulan kerana ia memerlukan masa untuk berbuat demikian. HBO
Submitted by Unknown at 11:29 AM in: share to:

Pesawat terhempas, 193 orang maut
LAGOS - Sebuah pesawat komersial terhempas di kawasan penempatan padat di bandar raya terbesar Nigeria semalam, membunuh semua 193 penumpang dan penduduk dalam nahas udara paling buruk di negara itu dalam masa dua dekad.
Punca kemalangan Dana Air belum diketahui sehingga semalam, ketika pasukan bomba dan polis berusaha keras memadamkan kebakaran pada bangkai pesawat Boeing MD83 itu. Pihak berkuasa tidak dapat mengawal beribu-ribu penduduk yang berkumpul untuk melihat kawasan kemalangan, dengan sebahagiannya merangkak di atas sayap kapal terbang yang patah dan berdiri di atas gear pendaratan.
Semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa kemalangan kapal terbang untuk berdepan kehilangan ini. - Goodluck Jonathan, Presiden Nigeria
Pekerja kecemasan menggunakan anjing dan kren untuk mencari mayat. Pegawai penyelamat pula berkata mereka bimbang ramai lagi penduduk di darat maut dalam nahas berkenaan.
Pertubuhan Palang Merah Nigeria berkata, 48 mayat sudah ditemui, dengan ramai lagi dikeluarkan daripada runtuhan bangunan.
“Kebimbangan itu kerana ia berlaku di kawasan berpenduduk padat dan mungkin ramai lagi yang terbunuh,” kata Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Nigeria, Yushau Shuaib.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil Nigeria, Harold Demuren, berkata semua penumpang dan krew pesawat maut dalam nahas itu. Kerajaan negeri Lagos dalam satu kenyataan berkata, 153 penumpang berada dalam penerbangan dari ibu negara, Abuja, ke Lagos di barat daya Nigeria.
Juruterbang menghubungi menara kawalan Lagos sejurus sebelum terhempas, berkata pesawat itu mempunyai masalah enjin, kata pegawai tentera yang enggan dikenali.
Pasukan penyelamat bimbang ramai lagi yang terbunuh atau cedera di darat tetapi bilangan mangsa belum diperoleh. Bomba dan penduduk setempat dilihat membawa mayat seorang lelaki daripada sebuah bangunan, dindingnya runtuh dan api masih bernyala sejam selepas kemalangan.
Presiden Goodluck Jonathan kemudian mengisytiharkan tiga hari berkabung di negara paling ramai rakyat di Afrika itu.
“Jonathan berdoa semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa kemalangan kapal terbang untuk berdepan kehilangan ini,” menurut kenyataan pejabatnya.
Pesawat kelihatan mendarat dengan perut dulu mencecah kawasan penempatan padat berhampiran laluan yang diambil pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammad di Lagos. Ia membelah bumbung rumah, melanggar pokok mangga dan merempuh studio kerja kayu, loji percetakan akhbar dan sekurang-kurangnya dua bangunan pangsapuri besar sebelum berhenti.
Habuk putih dan berbahaya kelihatan dari tempat kemalangan yang menyakitkan mata orang ramai manakala serpihan pesawat berselerak di atas tanah.
Ketika penduduk membantu membawa hos air ke tempat kejadian, cabaran besar yang dihadapi ialah tiada air untuk memadamkan kebakaran lebih tiga jam kemudian.
Beberapa lelaki muda membawa plastik berisi air untuk cuba memadamkan sebahagian kecil kebakaran. Kereta bomba, dari Lagos yang mempunyai 17.5 juta penduduk itu, tidak dapat membawa air mencukupi.
Pegawai beralih mendapat bantuan trak air dari kawasan pembinaan berhampiran untuk membantu tetapi ia tersekat di jalan raya yang sempit dan sesak, tidak boleh tiba di tempat kejadian.
Mangsa yang terbunuh termasuk sekurang-kurangnya empat warga China, lapor agensi berita Xinhua lewat semalam, memetik kenyataan diplomat China di Nigeria. – AP
Submitted by Unknown at 11:26 AM in: share to:

Apa saya nie tidak cukup bagus ke?

RIO Ferdinand membidas Roy Hodgson (gambar kecil) dan secara keras menyoal apakah alasan pengendali England itu tidak mahu menyenaraikan dia dalam skuad Euro 2012.
Pemain bek Manchester United itu memberi reaksi dengan nada marah apabila berkata dalam Twitter: “Apa alasan anda?”
Sambil itu wakil Ferdinand dan kawan lama, Jamie Moralee berkata: “Lampard, Terry, Barry, Gerrard; semua sudah berumur tapi mereka dipilih ke kejohanan. Kenapa Rio berbeza di sini?”
Situasi bertambah tegang apabila Hodgson memilih pemain muda Liverpool, Martin Kelly mengisi tempat Gary Cahill yang tercedera. HBO
Submitted by Unknown at 11:21 AM in: , share to:

PM bersuara BN tak buat janji mustahil
PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat sebarang janji yang mustahil untuk dipenuhi atau boleh membawa kemudaratan kepada negara semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan tidak boleh berjanji menurunkan harga petrol seperti janji pembangkang kerana ia mustahil dilaksanakan.
Kita mesti teruskan dasar dan komitmen bukan hanya untuk tempoh jangka pendek atau sehari dua, tetapi memelihara kesejahteraan rakyat dan negara secara berterusan. - Najib Razak, Perdana Menteri
“Harga minyak di Malaysia paling rendah di Asia Tenggara kecuali Brunei dan setiap bulan kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion. Tetapi, ada pihak berjanji jika berkuasa hari ini, esok harga minyak diturunkan. Ini janji tidak berpaksi kepada realiti atau prinsip menguruskan ekonomi dan negara dengan penuh tanggungjawab.
“Mereka juga berjanji menghapuskan pinjaman PTPTN yang boleh meningkatkan hutang negara sebanyak RM44 bilion, tol dihapuskan dan gaji minimum mencecah RM4,000,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.
Najib menegaskan rakyat tidak perlu menjadi cendekiawan untuk menyedari hakikat bahawa semua janji itu memang tidak mungkin dapat dilaksanakan.
“Tetapi pada mereka (pemimpin pembangkang), itu tidak penting kerana mahu menduduki kerusi di belakang saya ini (sebagai Perdana Menteri). Jika dapat duduk kerusi saya... yang lain belakang kira.
“Sikap seperti ini boleh membawa kesan buruk kepada negara. Oleh itu, kita mesti teruskan dasar dan komitmen bukan hanya untuk tempoh jangka pendek atau sehari dua, tetapi memelihara kesejahteraan rakyat dan negara secara berterusan,” katanya.
Najib berkata, beliau bersyukur dasar transformasi negara sejak tiga tahun lalu memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat serta kesan positif kepada ekonomi negara sehingga pencapaian ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus pada suku pertama tahun ini berjaya.
“Tetapi apa yang membuka mata kita adalah apabila sektor pembinaan berkembang melebihi 15 peratus dan menjadi antara penyumbang terbesar pencapaian kadar pertumbuhan. Faktor utama pertubuhan sektor pembinaan adalah kerana Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta perbelanjaan tambahan oleh kerajaan dan swasta,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata, ramai pelancong asing kagum dengan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
“Rupanya wujud jurang realiti dan persepsi di Malaysia. Bagi sesetengah negara realiti itu lebih buruk daripada persepsi, tetapi di Malaysia persepsi lebih buruk daripada realiti.
“Malah, Senator John McCain dan Senator Joseph Lieberman dari Amerika Syarikat (AS) yang ke sini baru-baru ini memuji Malaysia kerana mereka kata Malaysia sebuah negara berjaya. Di AS pun ada banyak masalah dan mereka masih dalam proses memperbaiki sistem demokrasi di sana.
“Oleh itu, kita patut yakin kita berada di landasan benar dan baik, cuma apa patut dilakukan ialah jangan berpuas hati dengan pencapaian sebelumnya dan sentiasa mencabar diri untuk melakukan perkara lebih baik dan teruskan bagi memastikan kejayaan pada masa depan.
“Misalnya, kerajaan masih menunggu peningkatan produktiviti selepas memberikan kenaikan gaji kepada penjawat awam dari Gred Satu hingga 54 yang mendapat kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus, baru-baru ini. Jika gaji naik tetapi produktiviti tidak naik, maka ia tidak seimbang,” katanya. HBO
Submitted by Unknown at 11:17 AM in: share to:

30 Belia himpun di depan rumah Mohamed Azmin Ali
KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 belia dari Ampang, Gombak dan Pandan Indah berkumpul secara aman di hadapan rumah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di Taman Tun Abdul Razak di sini, semalam mendesak pemimpin pembangkang itu menjawab segala tuduhan yang dikaitkan dengan dirinya.

Wakil mereka, Safarizul Mustapa, berkata Azmin perlu berani tampil membuat kenyataan sekiranya benar Ahli Parlimen Gombak itu tidak terbabit dengan kes rasuah yang ditimbulkan baru-baru ini.
“Jika sebelum ini Azmin banyak membicarakan mengenai soal keadilan maka sudah tiba masanya untuk beliau sekarang tampil menjawab perkara ini..., kami mencabar beliau supaya menjawab segala tuduhan itu.
"Kami bukannya kumpulan ‘samseng’ sebaliknya berkumpul secara aman tanpa merosakkan harta benda kerajaan menuntut jawapan daripada Azmin..., jika tiada jawapan maka kami akan berkumpul lagi pada masa akan datang," - Safarizul Mustapa, wakil belia.
“Kami bukannya kumpulan ‘samseng’ sebaliknya berkumpul secara aman tanpa merosakkan harta benda kerajaan menuntut jawapan daripada Azmin..., jika tiada jawapan maka kami akan berkumpul lagi pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, kumpulan itu berkumpul selama hampir 15 minit bermula pada jam 4 petang dengan memegang pelbagai sepanduk berbunyi ‘Tolak PKR’, ‘Tolak Azmin’ dan ‘tolak pembangkang’.

Sementara itu, kelmarin isteri pemimpin kanan PKR terbabit, Shamsidar Taharin membuat satu laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang berhubung tindakan lebih 20 lelaki bermotosikal membuat kecoh hampir satu jam di hadapan rumahnya.

Pemuda terbabit dikatakan mula berkumpul di hadapan rumah Azmin dengan membuat pusingan beberapa kali sebelum disuraikan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat Shamsidar jam 11 malam kelmarin.

Katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengenal pasti punca sebenar tindakan pemuda berkenaan. HBO
Submitted by Unknown at 4:23 PM in: share to:

Bekas Presiden Mesir, Mubarak dipenjara seumur hidup
KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, 84, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semalam, selepas didapati bersalah terhadap kematian 900 penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat Februari lalu.
Selain itu, beliau juga didapati bersalah kerana menjual gas asli kepada Israel pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Mereka (rakyat Mesir) menuntut demokrasi secara aman daripada pemerintah yang bersikap kuku besi dan enggan menyerahkan kuasa. - Hakim Ahmed Refaat
Bekas Menteri Dalam Negeri Habib el-Adly, 74, juga dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas turut didapati bersalah atas kematian penunjuk perasaan, manakala enam pegawai keselamatan lain dibebaskan.

Dua anak lelaki Mubarak, Gamal, 49, dan Alaa, 50, dibebaskan daripada dakwaan rasuah tetapi masih berdepan perbicaraan berasingan dengan tuduhan menjalankan perniagaan secara tidak sah.

Mubarak yang dibawa dengan helikopter tiba memakai kaca mata hitam dan baju trek coklat muda, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika Hakim Ahmed Refaat, membacakan keputusan selepas mengeluarkan beberapa kenyataan keras terhadapnya.

Refaat dalam penghakimannya, menyifatkan tempoh pemerintahan Mubarak sebagai 30 tahun dalam kegelapan dan sebuah mimpi ngeri yang hanya berakhir dengan kebangkitan rakyat Mesir menuntut perubahan.
“Mereka (rakyat Mesir) menuntut demokrasi secara aman daripada pemerintah yang bersikap kuku besi dan enggan menyerahkan kuasa,” katanya.

Refaat yang akan bersara selepas perbicaraan Mubarak dan kedua-dua anaknya selesai, berkata el-Adly turut bertanggungjawab kerana tidak mengambil tindakan menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan yang tidak bersenjata oleh pasukan keselamatan.

Lebih 900 penunjuk perasaan terkorban, kebanyakannya ditembak di Kaherah dan bandar lain di Mesir sepanjang tempoh kebangkitan rakyat selama 18 hari itu.

Hukuman ke atas Mubarak yang mentadbir Mesir seperti harta peribadi selama tiga dekad, dilihat bertujuan meredakan ketegangan menjelang pusingan kedua pilihan raya presiden yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara bekas perdana menteri Ahmed Shafiq, dengan calon Ikhwanul Muslimin Mohamed Mursi.

Mubarak, pemimpin Arab pertama yang dibicarakan di negaranya sendiri, hanya mendiamkan diri di kamar mahkamah manakala kedua-dua anak lelakinya jelas gementar. Anak sulung beliau dilihat membaca ayat suci al-Quran dengan perlahan.

Sementara itu, pergaduhan tercetus antara penyokong dan penentang Mubarak di dalam dan di luar kamar mahkamah sejurus keputusan dibacakan, memberi isyarat keadaan tegang berterusan sejak Mubarak digulingkan.

Sebilangan mereka mengibarkan bendera Mesir sambil melaungkan kata-kata mendesak hukuman segera dilaksanakan, manakala yang lain mengoyak gambar Mubarak.

Beribu-ribu anggota polis mengawal kawasan sekitar bangunan akademi, bagi menghalang penunjuk perasaan dan sanak-saudara mereka yang terbunuh ketika kebangkitan daripada menghampirinya.

Mubarak ditempatkan di hospital di bandar peranginan Sharm el-Sheikh sejak penahanannya tahun lalu, selepas tentera tunduk kepada desakan penunjuk perasaan supaya beliau dibicarakan.

Tentera, bagaimanapun, bertegas bahawa siasatan dan tuduhan yang difailkan pendakwa ke atas Mubarak dilakukan secara bebas dan mereka tidak terbabit dalam perkara itu. – AP/AFP
Submitted by Unknown at 4:19 PM in: share to:

Safee Sali amat terkilan

"KAMI sudah bermain dengan baik, menguasai permainan tetapi hanya gol gagal diperoleh. Mungkin faktor padang dan ketenangan ketika melakukan penyudah.”
Itu keluhan penyerang negara, Safee Sali yang terus dicengkam kemarau jaringan mencecah enam bulan untuk skuad Harimau Malaya sebaik tamat aksi persahabatan antarabangsa dengan Filipina, yang berkesudahan 0-0 di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Namun penyerang Pelita Jaya FC itu berjanji akan bangkit menggegar gawang Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa seterusnya di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini. HBO
Submitted by Unknown at 4:15 PM in: , share to:

Merancang bercuti bersama Google

SEMPENA cuti sekolah yang masih berbaki, pasti anda merancang bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan tetapi tidak pasti destinasi yang hendak dituju.

Jika sudah mempunyai destinasi yang ingin dijejaki, anda tentu hilang panduan dalam pelbagai perkara. Antaranya tempat menarik yang ingin dilawati, restoran hebat atau petunjuk jalan akibat tidak pernah menjejakkan kaki di lokasi terbabit.
Usah khuatir - semua jawapan ada di hujung jari. Dengan berpaling kepada pelayar internet anda, ia akan menjadi pemandu pelancong terbaik pernah anda temui dan secara percuma!
Inilah perkhidmatan diberi pelayar sistem maklumat Google yang memberi pengalaman baru dalam mengakses aplikasi web. Tidak hanya laman web yang mengandungi maklumat boleh diakses, malah aplikasi web Google mengambil arahan daripada pengguna untuk menawarkan pengalaman pelayaran peribadi termasuk ketika merancang perjalanan.

Pelayar Chrome Google akan berfungsi dengan aplikasi ini untuk mewujudkan web terpantas - suatu pengalaman paling intuitif di web. Pelancong boleh mencari beberapa aplikasi web yang unik untuk membantu semua pelan daripada tempahan penerbangan, hotel hinggalah belajar bagaimana hendak berkhemah dalam hutan dengan selamat.

Apabila anda menggunakan Chrome untuk mengakses Peta Google, anda boleh meneroka dunia dengan pantas. Hanya dengan ‘klik’, ia akan menyerlahkan alamat dan info perjalanan sama ada anda sedang berjalan, memandu atau mengambil pengangkutan awam.

Kekangan bahasa kini bukan lagi penghalang kerana ia secara automatik menterjemah laman web ke dalam bahasa anda. Sama juga keadaannya ketika anda berada di negara asing, melalui aplikasi ini anda boleh menterjemah bahasa tidak difahami dalam laman web bahasa asing kepada bahasa pilihan.
Store Web Chrome adalah pasaran di mana anda boleh menyemak imbas, menemui dan membeli aplikasi dan lanjutan terbaik di web.

Pengumpulan perjalanan dalam Store Web Chrome menghimpunkan berpuluh aplikasi dan alat yang direka untuk menjadikan perancangan perjalanan anda mudah dan menyeronokkan. Berikut adalah hanya beberapa contoh aplikasi yang memudahkan perjalanan anda:

TouristEye Planner
Permudahkan perancangan perjalanan dengan membina jadual perjalanan menggunakan daya seret yang mudah dan antara muka. Simpan dalam telefon pintar anda untuk akses yang mudah jika tiada sambungan internet.

Hipmunk
Kunci kepada aplikasi yang memudahkan anda mencari penerbangan dari aspek harga, jadual perjalanan dan tempoh penerbangan.


Wanderfly
Rancang perjalanan yang sepadan dengan bajet dan minat anda. Mencari sesuatu yang lasak dan bersifat pengembaraan, romantik atau mewah? Hanya klik butang dan cari apa yang sesuai dengan keperluan anda.


Dayzipping
Mahukan percutian yang cepat? Dayzipping membantu anda mencari perjalanan sehari di 15 buah negara berbeza.

CardFed
Aplikasi ini membantu menghantar gambar anda umpama poskad di mana-mana lokasi di dunia. Anda tidak perlu risau jika terlepas peluang membeli poskad sebagai kenangan ketika bercuti.

wikiHow Survival Kit
Bersedia untuk apa-apa situasi dengan aplikasi web ini. Diserang binatang buas, tersesat di huan atau mengalami masalah ketika bercuti - semuanya ada penyelesaian!

Amazebuy Hotels
Pilih tawaran pakej penginapan menarik hotel di seluruh dunia.

Weather Window
Ambil sedikit masa untuk melihat secara maya cuaca bandar yang dirancang dilawati. Sehubungan itu, anda boleh bersedia dengan pakaian yang sesuai seperti seorang pakar.

Flight Status
Sentiasa bersedia untuk penerbangan anda. Ini aplikasi mudah membolehkan anda menaip kod penerbangan dan memeriksa statusnya. BHO
Submitted by Unknown at 1:30 AM in: share to:

Mat Zan tak mahu isu dibawa ke mahkamah
BEKAS ketua jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berharap, isu penamatan kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat diselesaikan secara baik dan tidak perlu diheret ke mahkamah.

Pengendali yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, sekiranya PBSNT bersetuju dengan tuntutan pembayaran gaji sehingga akhir tahun, masalah penamatan kontrak itu sudah pasti dapat diselesaikan.
Mat Zan yang menamatkan tempoh ‘rehat’ sebulan semalam, berkata masih belum ada berita daripada PBSNT mengenai kedudukannya dalam pasukan.
Jurulatih 54 tahun itu yang tempatnya kini diambil bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler berkata, tidak keterlaluan untuknya meminta majikannya membayar gaji sehingga hujung tahun ini kerana dia mengikat kontrak dua tahun.

“Saya ada meminta pandangan dan nasihat beberapa jurulatih lain yang pernah ditamatkan kontrak lebih awal, dan saya dapati majikan mereka bertindak adil dan saksama dengan membayar pampasan sewajarnya.

“Saya juga ingin mendapat sedikit keadilan daripada majikan dan saya harap mereka akan menghubungi saya dengan berita yang menggembirakan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Namun Mat Zan berkata, sehingga kini dia tidak mengetahui status sebenar dan kedudukannya dengan PBSNT, sebaliknya hanya bersikap menunggu dan hanya mengetahui melalui media.

“Saya tidak tahu masalah yang saya hadapi kini kerana tidak ada hitam putih dari PBSNT, sebaliknya hanya menerima notis meminta saya menjawab surat tunjuk sebab punca kemerosotan pasukan,” katanya yang bersuara selepas terbaca laporan PBSNT terpaksa menggunakan mahkamah selepas gagal mencapai penyelesaian berhubung penamatan kontrak kerana Mat Zan menolak pampasan dua bulan gaji. BHO
Submitted by Unknown at 12:59 AM in: share to:

TERKINI JE!

 
© BERITA JE! | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO