Parti Politik berkempen di TV, Radio

KUALA LUMPUR - Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diberi peluang sama rata menjelaskan manifesto masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan, khususnya stesen televisyen.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagaimanapun berkata pihak berkuasa berkaitan akan menentukan syarat dan had tempoh masa yang sesuai kepada parti politik berbuat demikian.
Anda juga boleh suarakan pendapat di laman Facebook BH Online . Klik sini!
Perkara itu diputuskan selepas kertas Kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses media sama rata membentangkan manifesto, diluluskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pagi semalam.

Katanya, apabila Dewan Rakyat dibubarkan atau pada tempoh berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti politik dibenarkan menjelaskan manifesto masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan badan penyiaran lain.

“Peranan badan penyiar swasta pula akan ditentukan oleh kerajaan selepas ini mengikut hak serta lunas undang-undang sedia ada,” katanya ketika merasmikan Wisma Berita RTM dan Pelancaran Portal Berita serta Arkib Digital, di Angkasapuri, di sini semalam.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D’cruz; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail serta Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaafar.
Dalam pada itu, Rais berkata, untuk memberi kebenaran menyampaikan maklumat, RTM perlu mengikut selera parti politik kerana ia turut diamalkan di negara Komanwel dan negara maju lain yang menetapkan syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

“Misalnya di England, BBC memberi 10 hingga 15 minit untuk menyiarkan manifesto parti politik ketika pilihan raya dengan beberapa syarat yang mereka kenakan. Begitu juga di Singapura dan Thailand. Malah, yang terbaru Myanmar turut memberikan peluang dengan syarat tertentu dalam bentuk amalan yang boleh diterima pelbagai pihak.

“Tentu sekali keputusan ini (memberi akses sama rata) menyebabkan banyak persoalan dan pandangan akan diberi pelbagai pihak, namun kerajaan menerimanya secara terbuka,” katanya.

Rais juga berkata, pembinaan bangunan Wisma Berita RTM mencipta satu sejarah dan mercu kejayaan dalam bidang penyiaran negara.

“Walaupun rumah baru dan alat baru (Wisma Berita RTM) sudah terbina, yang penting adalah profesionalisme harus diutamakan terutama dalam membuat, mengolah dan menyebarkan berita.

“Oleh itu, kita akan melihat sejarah baru ini bagaimana profesionalisme dapat diterjemah dalam pemberitaan, disamping hak untuk mendapatkan liputan yang adil,” katanya. BHO
Submitted by Unknown at 7:07 AM in: share to:

Remaja berusia 13 tahun menjadi mangsa rogol kenalan facebook

IPOH - Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun menjadi mangsa rogol seorang kenalan yang dikenali dari laman sosial Facebook selepas terpedaya dengan janji manis serta pemberian barang kemas daripada remaja lelaki terbabit.
Pelajar Tingkatan Satu itu mula mengenali remaja berusia 16 tahun dan sering berhubung menerusi Facebook sebelum membuat keputusan mengadakan pertemuan kali pertama pada 25 Mei lalu.
Adik saya turut akui menerima pelbagai barang kemas, termasuk rantai dan cincin. - Lee, Abang mangsa
Malah, mangsa ponteng sekolah beberapa hari dan bersembunyi dua hari di rumah keluarga pasangannya itu untuk melepaskan rindu sebaik berjumpa sehingga menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 3 petang, 25 Mei kerana anak mereka tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, mangsa ditemui selamat selepas dihantar ibu teman lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 29, berkata dia mengesyaki perubahan sikap ketara pada adiknya selepas menjalinkan perkenalan dengan teman lelakinya itu, termasuk sering ponteng sekolah, mengabaikan pelajaran dan berubah sikap.

“Adik saya turut mengakui pernah menerima pelbagai barang kemas, termasuk rantai dan cincin emas dihadiahkan remaja itu.
“Saya percaya lelaki itu memperdayakan adik saya dengan pelbagai hadiah sebelum bertindak merogolnya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) di sini, semalam.

Katanya, dia dan keluarga meminta polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap remaja lelaki terbabit, termasuk ahli keluarga lelaki itu kerana bersubahat menyembunyikan adiknya selama dua hari di rumah mereka.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kes rogol yang berpunca daripada perkenalan di laman sosial sejak tahun lalu.

Katanya, empat daripada kes berkenaan membabitkan kes rogol di mana kebanyakan mangsanya berusia lingkungan antara 13 hingga 20 tahun.

“Justeru, saya meminta ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengawasi tingkah laku anak masing-masing. Selain itu, pihak polis juga perlu memandang serius tingkah laku pelajar mereka dan segera memaklumkan kepada ibu bapa pelajar bagi mengelak masalah terus berlarutan,” katanya. BHO
Submitted by Unknown at 3:46 PM in: share to:

Seramai 8,000 orang amah Indonesia di ambil sebulan
KUALA LUMPUR - Kira-kira 8,000 pembantu rumah Indonesia akan memasuki negara ini setiap bulan bagi menampung keperluan dan permintaan majikan di Malaysia.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PIKAP), Datuk Raja Zulkepley Dahlan, berkata jumlah berkenaan adalah anggaran kemasukan untuk memenuhi kira-kira 100,000 permohonan khidmat pembantu rumah.
Justeru, beliau khuatir sama ada Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersedia menerima gelombang kemasukan pembantu rumah dan memastikan semua proses permohonan berjalan lancar.
"Dengan peraturan baru berdasarkan memorandum persefahaman (MOU) yang dipersetujui, semua permohonan majikan yang dikemukakan kepada agensi perlu melalui JTK dan Imigresen terlebih dulu. Adakah pihak berkenaan bersedia memastikan proses permohonan dipenuhi dalam tempoh dijanjikan." - Datuk Raja Zulkepley Dahlan, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PIKAP) “Dengan peraturan baru berdasarkan memorandum persefahaman (MOU) yang dipersetujui, semua permohonan majikan yang dikemukakan kepada agensi perlu melalui JTK dan Imigresen terlebih dulu. Adakah pihak berkenaan bersedia memastikan proses permohonan dipenuhi dalam tempoh dijanjikan,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam kelmarin bahawa Malaysia memerlukan kira-kira 100,000 pembantu rumah Indonesia bagi menampung permintaan.
Raja Zulkepley berkata, pihaknya menerima hampir 80,000 permohonan pembantu rumah warga Indonesia dan jumlah itu terus meningkat.
Katanya, mengikut taklimat kepada agensi, proses oleh Imigresen akan mengambil masa hampir dua minggu dan JTK dalam tempoh tiga hari.
"Saya harap proses permohonan lancar walaupun dengan kemasukan besar-besaran pembantu rumah dan agensi pekerjaan tidak dipersalahkan jika berlaku kelewatan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo, berkata pihaknya berusaha menambah kemasukan pembantu rumah Indonesia tetapi mereka tidak boleh menghantar pembantu rumah ke negara ini hanya dalam seminggu atau sebulan kerana ia memerlukan masa untuk berbuat demikian. HBO
Submitted by Unknown at 11:29 AM in: share to:

PM bersuara BN tak buat janji mustahil
PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat sebarang janji yang mustahil untuk dipenuhi atau boleh membawa kemudaratan kepada negara semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan tidak boleh berjanji menurunkan harga petrol seperti janji pembangkang kerana ia mustahil dilaksanakan.
Kita mesti teruskan dasar dan komitmen bukan hanya untuk tempoh jangka pendek atau sehari dua, tetapi memelihara kesejahteraan rakyat dan negara secara berterusan. - Najib Razak, Perdana Menteri
“Harga minyak di Malaysia paling rendah di Asia Tenggara kecuali Brunei dan setiap bulan kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion. Tetapi, ada pihak berjanji jika berkuasa hari ini, esok harga minyak diturunkan. Ini janji tidak berpaksi kepada realiti atau prinsip menguruskan ekonomi dan negara dengan penuh tanggungjawab.
“Mereka juga berjanji menghapuskan pinjaman PTPTN yang boleh meningkatkan hutang negara sebanyak RM44 bilion, tol dihapuskan dan gaji minimum mencecah RM4,000,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.
Najib menegaskan rakyat tidak perlu menjadi cendekiawan untuk menyedari hakikat bahawa semua janji itu memang tidak mungkin dapat dilaksanakan.
“Tetapi pada mereka (pemimpin pembangkang), itu tidak penting kerana mahu menduduki kerusi di belakang saya ini (sebagai Perdana Menteri). Jika dapat duduk kerusi saya... yang lain belakang kira.
“Sikap seperti ini boleh membawa kesan buruk kepada negara. Oleh itu, kita mesti teruskan dasar dan komitmen bukan hanya untuk tempoh jangka pendek atau sehari dua, tetapi memelihara kesejahteraan rakyat dan negara secara berterusan,” katanya.
Najib berkata, beliau bersyukur dasar transformasi negara sejak tiga tahun lalu memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat serta kesan positif kepada ekonomi negara sehingga pencapaian ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus pada suku pertama tahun ini berjaya.
“Tetapi apa yang membuka mata kita adalah apabila sektor pembinaan berkembang melebihi 15 peratus dan menjadi antara penyumbang terbesar pencapaian kadar pertumbuhan. Faktor utama pertubuhan sektor pembinaan adalah kerana Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta perbelanjaan tambahan oleh kerajaan dan swasta,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata, ramai pelancong asing kagum dengan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
“Rupanya wujud jurang realiti dan persepsi di Malaysia. Bagi sesetengah negara realiti itu lebih buruk daripada persepsi, tetapi di Malaysia persepsi lebih buruk daripada realiti.
“Malah, Senator John McCain dan Senator Joseph Lieberman dari Amerika Syarikat (AS) yang ke sini baru-baru ini memuji Malaysia kerana mereka kata Malaysia sebuah negara berjaya. Di AS pun ada banyak masalah dan mereka masih dalam proses memperbaiki sistem demokrasi di sana.
“Oleh itu, kita patut yakin kita berada di landasan benar dan baik, cuma apa patut dilakukan ialah jangan berpuas hati dengan pencapaian sebelumnya dan sentiasa mencabar diri untuk melakukan perkara lebih baik dan teruskan bagi memastikan kejayaan pada masa depan.
“Misalnya, kerajaan masih menunggu peningkatan produktiviti selepas memberikan kenaikan gaji kepada penjawat awam dari Gred Satu hingga 54 yang mendapat kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus, baru-baru ini. Jika gaji naik tetapi produktiviti tidak naik, maka ia tidak seimbang,” katanya. HBO
Submitted by Unknown at 11:17 AM in: share to:

30 Belia himpun di depan rumah Mohamed Azmin Ali
KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 belia dari Ampang, Gombak dan Pandan Indah berkumpul secara aman di hadapan rumah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di Taman Tun Abdul Razak di sini, semalam mendesak pemimpin pembangkang itu menjawab segala tuduhan yang dikaitkan dengan dirinya.

Wakil mereka, Safarizul Mustapa, berkata Azmin perlu berani tampil membuat kenyataan sekiranya benar Ahli Parlimen Gombak itu tidak terbabit dengan kes rasuah yang ditimbulkan baru-baru ini.
“Jika sebelum ini Azmin banyak membicarakan mengenai soal keadilan maka sudah tiba masanya untuk beliau sekarang tampil menjawab perkara ini..., kami mencabar beliau supaya menjawab segala tuduhan itu.
"Kami bukannya kumpulan ‘samseng’ sebaliknya berkumpul secara aman tanpa merosakkan harta benda kerajaan menuntut jawapan daripada Azmin..., jika tiada jawapan maka kami akan berkumpul lagi pada masa akan datang," - Safarizul Mustapa, wakil belia.
“Kami bukannya kumpulan ‘samseng’ sebaliknya berkumpul secara aman tanpa merosakkan harta benda kerajaan menuntut jawapan daripada Azmin..., jika tiada jawapan maka kami akan berkumpul lagi pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, kumpulan itu berkumpul selama hampir 15 minit bermula pada jam 4 petang dengan memegang pelbagai sepanduk berbunyi ‘Tolak PKR’, ‘Tolak Azmin’ dan ‘tolak pembangkang’.

Sementara itu, kelmarin isteri pemimpin kanan PKR terbabit, Shamsidar Taharin membuat satu laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang berhubung tindakan lebih 20 lelaki bermotosikal membuat kecoh hampir satu jam di hadapan rumahnya.

Pemuda terbabit dikatakan mula berkumpul di hadapan rumah Azmin dengan membuat pusingan beberapa kali sebelum disuraikan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat Shamsidar jam 11 malam kelmarin.

Katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengenal pasti punca sebenar tindakan pemuda berkenaan. HBO
Submitted by Unknown at 4:23 PM in: share to:

Isu Pendatang Asing di Sabah dapat diselesaikan
KUALA LUMPUR - Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Perdana Menteri berkata, kerajaan komited untuk menangani isu itu yang menurutnya mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.
Adalah diharapkan warga negeri Sabah akan mengambil manfaat daripada penubuhan RCI ini dan bersama-sama kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah berkaitan. - Datuk Seri Najib Razak
“Adalah diharapkan warga negeri Sabah akan mengambil manfaat daripada penubuhan RCI ini dan bersama-sama kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Najib berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

“Jabatan Peguam Negara diamanahkan untuk mengemukakan cadangan Terma Rujukan (TOR) dan draf asas sudah disediakan.

“Bagi memastikan perjalanan RCI kelak mengambil kira pandangan semua pihak, saya sudah meminta Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada semua pihak berhubung draf awal TOR sebelum dimuktamadkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, penubuhan RCI adalah manifestasi iltizam kerajaan dalam menjunjung prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Dilaporkan, jumlah pendatang asing tanpa izin di Sabah dianggarkan mencecah 500,000 orang.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung penubuhan RCI.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata suruhanjaya berkenaan menzahirkan komitmen tinggi kerajaan dalam mendengar suara rakyat.

Beliau berkata, pada peringkat kementerian, penubuhan RCI dilihat sebagai nilai tambah usaha dilaksanakannya menangani isu berkaitan pendatang asing tanpa izin melalui Makmal Pengurusan Warga Asing Nasional serta Makmal Khas Warga Asing Sabah. – BERNAMA
Submitted by Unknown at 12:44 AM in: share to:

TERKINI JE!

 
© BERITA JE! | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO