NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berusaha untuk menyelamatkan persidangan yang dihadiri lebih 100 pemimpin dunia di Rio de Janeiro dalam masa dua minggu lagi bertujuan mengelak dunia dilanda tragedi.
Persidangan mengenai Pembangunan Mapan mengambil cabaran besar mengubah alam sekitar, dasar sosial dan ekonomi untuk berdepan dengan penduduk dunia yang sudah melebihi tujuh bilion, sumber yang semakin berkurangan dan menekan bandar raya hingga ke penghujung.
Ban dan sekumpulan pakar, bagaimanapun menuduh kerajaan meletakkan kepentingan negara melebihi kebaikan sejak beberapa bulan rundingan sebelum sidang di bandar raya berkenaan bagi memperingati ulang tahun ke-20 persidangan Bumi di tempat sama.
Negara kaya dilanda krisis ekonomi dan mahu berjimat. Negara miskin merungut janji yang dibuat untuk menghulurkan lebih banyak bantuan wang tunai dan teknologi baru bagi menangani perubahan suhu, kemiskinan dan wabak penyakit, belum tertunai.
Tanpa kehadiran Presiden Barack Obama, Perdana Menteri Britain; David Cameron dan Canselor Jerman, Angela Merkel, pada majlis yang dinamakan persidangan Rio+20 itu, Ban kini berusaha melobi pemimpin supaya bersetuju dengan pelan tindakan itu.
“Kita perlu betulkan visi sama ada kita menuju ke arah kemakmuran bersama atau sama ada kita menuju ke arah tragedi kemanusiaan.
“Rundingan amat lembap. Planet ini ada hadnya dan kita perlu lakukan sesuatu untuk generasi akan datang,” katanya Isnin lalu di Arab Saudi ketika menekankan isu kemarau, banjir, kekurangan makanan dan eksploitasi mineral keterlaluan memberi kesan kepada dunia.
Ban berkata, kerajaan perlu lebih fleksibel.
“Mereka perlu bersuara melebihi kepentingan negara atau kumpulan,” katanya.
Persidangan itu akan menyentuh masalah sosial dan alam sekitar yang dihadapi dunia, keselamatan makanan, kesihatan
global, bandar raya yang boleh diduduki, keadaan lautan dan perubahan suhu.
Beribu-ribu muka surat cadangan bagi agenda akhir Rio+20, dikurangkan kepada 20 muka surat dalam rundingan pertama tahun lalu tetapi bertambah kepada 275 halaman dalam perkembangan terbaru.
Negara kaya dan miskin tidak bersetuju bagaimana untuk mendefinisikan ekonomi hijau dan menetapkan pelan untuk pembangunannya. – AFP
Home > Posts filed under Dunia
Persidangan di Rio diramal gagal
Submitted by
Unknown
at
7:56 AM
in:
Dunia
share to:
Gempa bumi kuat bermagnitud 5.9 dekat Taiwan
Submitted by
Unknown
at
3:38 AM
in:
Dunia
share to:
TAIPEI - Gempa bumi kuat bermagnitud 5.9 menggegarkan pesisir pantai tenggara Taiwan, hari ini dan tiada laporan kerosakan harta benda serta kematian diterima.
Biro Cuaca Kebangsaan Taiwan berkata, gempa bumi yang melanda jam 9.08 pagi tadi dikesan pada 52 kilometer (km) pusat gempa iaitu tenggara di bandar Taitung.
Bagaimanapun, Jabatan Kaji selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu dicatatkan pada magnitud 5.7.
Katanya, gempa bumi itu tidak dirasai di ibu kota Taipei, iaitu kira-kira utara 400 km dari pusat gempa. - AP
Virus komputer Flame sasar fail di Iran
Submitted by
Unknown
at
6:04 PM
in:
Dunia
share to:
MOSCOW - Virus komputer Flame yang ditemui bulan lalu selepas serangan siber besar-besaran dilancarkan terhadap Iran bertujuan untuk mencuri pelan reka bentuk dan fail PDF.
Kaspersky Lab menyifatkan virus Flame sebagai perisian jahat (malware) terbesar dan paling canggih setakat ini.
Mengikut maklumat terkini hasil analisis Kaspersky mengenai virus itu, kelmarin, ketua pakar keselamatan syarikat itu, Alexander Gostev, berkata pencipta virus itu memfokuskan format fail seperti PDF dan AutoCAD, iaitu perisian komputer untuk mereka bentuk.
“Penyerang kelihatan mempunyai minat mendalam dalam lukisan AutoCAD,” kata Gostev dalam satu kenyataan.
Katanya, Malware juga melihat PDF, teks fail dan dokumen lain.
“Ia juga mencari emel dan pelbagai jenis fail menarik (nilai tinggi) yang dilakukan mengikut program malware itu,” tambahnya. – AFP
China desak kedutaan luar asing berhenti menerbitkan laporan udara
Submitted by
Unknown
at
5:46 PM
in:
Dunia
share to:
BEIJING - Pihak berkuasa alam sekitar China memberitahu kedutaan luar asing semalam supaya berhenti menerbitkan laporan mereka berhubung kualiti udara di negara itu dengan merujuk kepada mesej Twitter Kedutaan Amerika Syarikat yang mengesan pencemaran di bandar negara itu yang berjerebu.
Wu Xiaoqing, seorang timbalan menteri alam sekitar memberitahu media dalam satu taklimat di sini, hanya kerajaan China diberi kuasa memantau dan menerbitkan maklumat kualiti udara dan memberi amaran bahawa data daripada sumber lain mungkin tidak seragam atau tidak tepat.
Kedutaan Amerika memberi bacaan setiap jam kualiti udara bandar ini menerusi maklumat Twitter yang mengumpul lebih 19,000 pengikut sejak ia diwujudkan pada 2009. Ia menggunakan garis panduan ketat untuk kadar pencemaran yang ditetapkan kerajaan China.
Wu berkata, adalah tidak adil untuk menghakimi udara China mengikut standard Amerika kerana China adalah sebuah negara sedang membangun.
Katanya, Amerika secara berperingkat memperketat garis panduan alam sekitarnya dari semasa ke semasa.
“Piawai yang digunakan China mengambil kira paras peringkat pembangunan terkini. Menurut konvensyen antarabangsa, diplomat perlu menghormati dan akur kepada undang-undang di negara penerima mereka. Mereka juga tidak boleh campur tangan dalam isu domestik negara berkenaan.
“Kami harap kedutaan dan konsulat akan menghormati undang-undang China dan berhenti menyiarkan data mutu udara,” kata Wu.
Beijing kerap diliputi jerebu kuning. Bangunan sejauh beberapa blok tidak jelas kelihatan, namun rekod indeks kualiti udara rasmi ibu kota ini mencatat tahap pencemaran sebagai ‘ringan’ - bacaan yang pelik kerana ia tidak dirasai oleh kebanyakan penduduk.
China mensyaratkan kepekatan partikel halus digelar PM2.5 di bawah purata harian 75 mikrogram setiap meter padu - dua kali ganda lebih ringan berbanding standard di Amerika. – AP
Syria mengisytiharkan haram diplomat asing
Submitted by
Unknown
at
4:25 PM
in:
Dunia
share to:
DAMSYIK - Syria mengisytiharkan diplomat dari negara Barat dan Turki sebagai orang yang dilarang masuk ke negara itu atau digelar 'persona non grata.'
Kementerian Luar Syria berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap duta Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Turki, sebagai membalas pengusiran diplomatnya daripada negara berkenaan.
Negara Barat mengusir diplomat Syria berikutan pembunuhan beramai-ramai akhir Mei lalu yang menyaksikan 108 orang terbunuh di tengah pekan Houla, satu daripada perbuatan kejam paling buruk di negara itu sejak kebangkitan penduduk meletus mulai Mac 2011.
“Ada negara baru-baru ini memaklumkan ketua misi dan kakitangan kedutaan kami tidak dialu-alukan di negara mereka,” menurut satu kenyataan.
Malah, kenyataan itu juga memaklumkan tindakan sama ke atas duta Kanada, Itali, Sepanyol dan kakitangan kedutaan dari Belgium, Bulgaria dan Jerman.
Ia menekankan, Syria masih percaya kepada dialog berdasarkan dasar kesaksamaan dan hormat menghormati dan diplomat adalah alat sesuai untuk negara menyelesaikan sengketa.
“Kami berharap negara itu akan memegang kepada prinsip yang sama dengan membenarkan hubungan kembali normal,” katanya.
Negara Barat mengusir diplomat Syria berikutan pembunuhan beramai-ramai akhir Mei lalu yang menyaksikan 108 orang terbunuh di tengah pekan Houla, satu daripada perbuatan kejam paling buruk di negara itu sejak kebangkitan penduduk meletus mulai Mac 2011.
Di medan konflik, anggota tentera dan militia pro pemerintah dibantu kereta perisai melakukan serangan terhadap pemberontak, merampas pekan tengah Kfar Zita selepas mengebom tiga hari, kata agensi Hak Asasi Pemantauan Syria, sambil menambah pemberontak sudah berundur.
Kumpulan militia pro kerajaan juga merompak rumah dan kedai selepas penduduk melarikan diri, dakwa pemerhati.
Difahamkan, empat orang awam terbunuh semalam dalam operasi ketenteraan besar-besaran di kawasan Kfar Oweid, Idlib, wilayah yang bersempadan dengan Turki yang juga kubu kuat pasukan pemberontak.
Pemberontak dan militia berkenaan turut bertempur di beberapa kawasan di wilayah barat laut Syria, kata pertubuhan hak asasi Observatory yang berpejabat di Britain.
Ia berkata beberapa daerah bandar Homs, juga di utara Damsyik, diserang bedilan artileri, sebahagian taktik askar kerajaan menghancurkan penentang.
Di Latakia, satu kawasan dekat rantau Mediterranean, dua pemberontak terbunuh kerana serangan tentera kerajaan terhadap pekan al Hafa.
Salah seorang yang terbunuh itu adalah pegawai yang belot daripada pasukan tentera dan menyertai pemberontak. – AFP
Demi berjihad Osama hidup bersederhana
Submitted by
Unknown
at
11:33 AM
in:
Dunia
share to:
LONDON - Pengasas al-Qaeda, Osama bin Laden, menjalani kehidupan berjimat cermat, memperuntukkan semua kemewahan peribadinya untuk menyerang kepentingan Barat dan menyediakan makanan lazat untuk tetamu, kata Ayman al-Zawahiri.
Dalam video terbaru yang disiarkan secara online bertajuk ‘Hari-hari bersama imam, Bahagian Kedua,’ Zawahiri, yang mengambil alih kepemimpinan al-Qaeda selepas pembunuhan Osama setahun lalu, menceritakan semula kehidupan ketuanya yang selesa dengan kehidupan tidak seberapa.
“Apabila memasuki rumahnya, anda akan terperanjat. Hiasan rumahnya amat ringkas, dengan beberapa katil kayu dan sedikit perabot. Jika beliau menjemput kami ke rumah, beliau akan menjamu kami makan roti, sayur dan nasi - apa saja yang ada beliau akan sediakan untuk kami,” katanya.
Osama terbunuh di Pakistan Mei lalu dalam serangan tengah malam oleh pasukan khas Amerika Syarikat, menamatkan usaha memburunya selama 10 tahun.
“Beliau membelanjakan wangnya untuk jihad,” kata Zawahiri, sambil menambah Osama memberi sumbangan AS$50,000 (RM150,000) untuk membantu membiaya pengeboman kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania pada tahun 1998.
Pada masa itu, Osama cuma memiliki harta tidak sampai AS$55,000 (RM165,000).
Zawahiri kadang-kadang ketawa ketika mengingatkan kembali memori bersama Osama, yang dikatakan menggesa pejuang mujahidin tidak menggunakan bekalan elektrik sebagai persiapan untuk kesukaran hidup dalam pelarian.
Di sebalik kesederhanaan kehidupannya, Osama adalah hos yang pemurah dan pernah membeli sekawan biri-biri untuk memasak makanan untuk pelawatnya dari Afghanistan.
“Beliau dikenali pemurah dengan tetamu. Beliau akan menyembelih ternakan untuk mereka dan memberikan mereka makanan yang lazat,” katanya.
Zawahiri adalah orang kuat Osama dan menjadi perancang kebanyakan strategi al-Qaeda untuk sekian lama. – Agensi
Pesawat terhempas, 193 orang maut
Submitted by
Unknown
at
11:26 AM
in:
Dunia
share to:
LAGOS - Sebuah pesawat komersial terhempas di kawasan penempatan padat di bandar raya terbesar Nigeria semalam, membunuh semua 193 penumpang dan penduduk dalam nahas udara paling buruk di negara itu dalam masa dua dekad.
Punca kemalangan Dana Air belum diketahui sehingga semalam, ketika pasukan bomba dan polis berusaha keras memadamkan kebakaran pada bangkai pesawat Boeing MD83 itu. Pihak berkuasa tidak dapat mengawal beribu-ribu penduduk yang berkumpul untuk melihat kawasan kemalangan, dengan sebahagiannya merangkak di atas sayap kapal terbang yang patah dan berdiri di atas gear pendaratan.
Semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa kemalangan kapal terbang untuk berdepan kehilangan ini. - Goodluck Jonathan, Presiden Nigeria
Pekerja kecemasan menggunakan anjing dan kren untuk mencari mayat. Pegawai penyelamat pula berkata mereka bimbang ramai lagi penduduk di darat maut dalam nahas berkenaan.
Pertubuhan Palang Merah Nigeria berkata, 48 mayat sudah ditemui, dengan ramai lagi dikeluarkan daripada runtuhan bangunan.
“Kebimbangan itu kerana ia berlaku di kawasan berpenduduk padat dan mungkin ramai lagi yang terbunuh,” kata Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Nigeria, Yushau Shuaib.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil Nigeria, Harold Demuren, berkata semua penumpang dan krew pesawat maut dalam nahas itu. Kerajaan negeri Lagos dalam satu kenyataan berkata, 153 penumpang berada dalam penerbangan dari ibu negara, Abuja, ke Lagos di barat daya Nigeria.
Juruterbang menghubungi menara kawalan Lagos sejurus sebelum terhempas, berkata pesawat itu mempunyai masalah enjin, kata pegawai tentera yang enggan dikenali.
Pasukan penyelamat bimbang ramai lagi yang terbunuh atau cedera di darat tetapi bilangan mangsa belum diperoleh. Bomba dan penduduk setempat dilihat membawa mayat seorang lelaki daripada sebuah bangunan, dindingnya runtuh dan api masih bernyala sejam selepas kemalangan.
Presiden Goodluck Jonathan kemudian mengisytiharkan tiga hari berkabung di negara paling ramai rakyat di Afrika itu.
“Jonathan berdoa semoga Tuhan memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa kemalangan kapal terbang untuk berdepan kehilangan ini,” menurut kenyataan pejabatnya.
Pesawat kelihatan mendarat dengan perut dulu mencecah kawasan penempatan padat berhampiran laluan yang diambil pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammad di Lagos. Ia membelah bumbung rumah, melanggar pokok mangga dan merempuh studio kerja kayu, loji percetakan akhbar dan sekurang-kurangnya dua bangunan pangsapuri besar sebelum berhenti.
Habuk putih dan berbahaya kelihatan dari tempat kemalangan yang menyakitkan mata orang ramai manakala serpihan pesawat berselerak di atas tanah.
Ketika penduduk membantu membawa hos air ke tempat kejadian, cabaran besar yang dihadapi ialah tiada air untuk memadamkan kebakaran lebih tiga jam kemudian.
Beberapa lelaki muda membawa plastik berisi air untuk cuba memadamkan sebahagian kecil kebakaran. Kereta bomba, dari Lagos yang mempunyai 17.5 juta penduduk itu, tidak dapat membawa air mencukupi.
Pegawai beralih mendapat bantuan trak air dari kawasan pembinaan berhampiran untuk membantu tetapi ia tersekat di jalan raya yang sempit dan sesak, tidak boleh tiba di tempat kejadian.
Mangsa yang terbunuh termasuk sekurang-kurangnya empat warga China, lapor agensi berita Xinhua lewat semalam, memetik kenyataan diplomat China di Nigeria. – AP
Bekas Presiden Mesir, Mubarak dipenjara seumur hidup
Submitted by
Unknown
at
4:19 PM
in:
Dunia
share to:
KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, 84, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semalam, selepas didapati bersalah terhadap kematian 900 penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat Februari lalu.
Selain itu, beliau juga didapati bersalah kerana menjual gas asli kepada Israel pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Mereka (rakyat Mesir) menuntut demokrasi secara aman daripada pemerintah yang bersikap kuku besi dan enggan menyerahkan kuasa. - Hakim Ahmed Refaat
Bekas Menteri Dalam Negeri Habib el-Adly, 74, juga dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas turut didapati bersalah atas kematian penunjuk perasaan, manakala enam pegawai keselamatan lain dibebaskan.
Dua anak lelaki Mubarak, Gamal, 49, dan Alaa, 50, dibebaskan daripada dakwaan rasuah tetapi masih berdepan perbicaraan berasingan dengan tuduhan menjalankan perniagaan secara tidak sah.
Mubarak yang dibawa dengan helikopter tiba memakai kaca mata hitam dan baju trek coklat muda, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika Hakim Ahmed Refaat, membacakan keputusan selepas mengeluarkan beberapa kenyataan keras terhadapnya.
Refaat dalam penghakimannya, menyifatkan tempoh pemerintahan Mubarak sebagai 30 tahun dalam kegelapan dan sebuah mimpi ngeri yang hanya berakhir dengan kebangkitan rakyat Mesir menuntut perubahan.
“Mereka (rakyat Mesir) menuntut demokrasi secara aman daripada pemerintah yang bersikap kuku besi dan enggan menyerahkan kuasa,” katanya.
Refaat yang akan bersara selepas perbicaraan Mubarak dan kedua-dua anaknya selesai, berkata el-Adly turut bertanggungjawab kerana tidak mengambil tindakan menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan yang tidak bersenjata oleh pasukan keselamatan.
Lebih 900 penunjuk perasaan terkorban, kebanyakannya ditembak di Kaherah dan bandar lain di Mesir sepanjang tempoh kebangkitan rakyat selama 18 hari itu.
Hukuman ke atas Mubarak yang mentadbir Mesir seperti harta peribadi selama tiga dekad, dilihat bertujuan meredakan ketegangan menjelang pusingan kedua pilihan raya presiden yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara bekas perdana menteri Ahmed Shafiq, dengan calon Ikhwanul Muslimin Mohamed Mursi.
Mubarak, pemimpin Arab pertama yang dibicarakan di negaranya sendiri, hanya mendiamkan diri di kamar mahkamah manakala kedua-dua anak lelakinya jelas gementar. Anak sulung beliau dilihat membaca ayat suci al-Quran dengan perlahan.
Sementara itu, pergaduhan tercetus antara penyokong dan penentang Mubarak di dalam dan di luar kamar mahkamah sejurus keputusan dibacakan, memberi isyarat keadaan tegang berterusan sejak Mubarak digulingkan.
Sebilangan mereka mengibarkan bendera Mesir sambil melaungkan kata-kata mendesak hukuman segera dilaksanakan, manakala yang lain mengoyak gambar Mubarak.
Beribu-ribu anggota polis mengawal kawasan sekitar bangunan akademi, bagi menghalang penunjuk perasaan dan sanak-saudara mereka yang terbunuh ketika kebangkitan daripada menghampirinya.
Mubarak ditempatkan di hospital di bandar peranginan Sharm el-Sheikh sejak penahanannya tahun lalu, selepas tentera tunduk kepada desakan penunjuk perasaan supaya beliau dibicarakan.
Tentera, bagaimanapun, bertegas bahawa siasatan dan tuduhan yang difailkan pendakwa ke atas Mubarak dilakukan secara bebas dan mereka tidak terbabit dalam perkara itu. – AP/AFP
Pihak Media kena bayar RM30,000
Submitted by
Unknown
at
12:33 AM
in:
Dunia
share to:
KAHERAH - Stesen televisyen Mesir akan menyiarkan secara langsung keputusan dan hukuman ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak, anak lelaki dan ketua keselamatannya dalam perbicaraan bunuh dan rasuah, lapor media rasmi.
“Media asing akan dikenakan bayaran antara AS$7,000 (RM21,000) dan AS$10,000 (RM30,000) untuk membeli siaran liputan,” lapor agensi berita rasmi MENA yang memetik kenyataan ketua Kesatuan Radio dan Televisyen Mesir, Tharwat al-Mekki, sebagai berkata.
Media asing akan dikenakan bayaran antara AS$7,000 (RM21,000) dan AS$10,00 (RM30,000) untuk membeli siaran liputan. - Agensi berita rasmi MENA
Beberapa sesi keterangan pertama perbicaraan yang bermula Ogos lalu disiarkan secara langsung tetapi Ketua Hakim, Ahmed Rifaat, mengarahkan kamera dikeluarkan sebelum saksi mula memberi keterangan.
Mubarak dan ketua keselamatannya didakwa dengan tuduhan membunuh berhubung pembunuhan penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat selama 18 hari yang menumbangkan pemerintahannya pada 11 Februari 2011.
Beliau juga berkongsi tuduhan rasuah dengan dua anaknya, Alaa dan Gamal.
Perbicaraan diadakan dalam akademi polis yang pernah dinamakan sempena nama Mubarak di pinggir bandar raya Kaherah.
Pada pembukaan keterangan, yang disiarkan secara langsung di Mesir dan luar negara, Mubarak membuat penampilan pertama sejak penyingkirannya dengan tiba di atas pengusung.
Kamera memfokus beliau secara dekat ketika Mubarak terbaring manakala Alaa dan Gamal cuba menghalang bapa mereka daripada pandangan orang ramai.
Pengawal keselamatan berkata, 5,000 anggota polis dan 2,000 anggota tentera ditugaskan menjaga sesi esok dan mengangkut Mubarak dari hospital tentera, lokasi beliau ditahan. Mubarak akan tiba di akademi dengan helikopter perubatan.
Bekas presiden berusia 84 tahun itu, yang menerima rawatan kerana masalah jantung, disorong memasuki kandang defendan di atas pengusung dalam sesi keterangan sebelum ini, dan selalunya dilindungi selimut.
Alaa dan Gamal, kedua-duanya memakai seragam penjara, berdiri di sebelah bapa mereka, kadang-kadang dilihat berbisik kepadanya apabila Mubarak kelihatan tidak mendengar apa yang dikatakan hakim atau saksi.
Mubarak, Menteri Luarnya, Habib al-Adly, dan enam komander polis berdepan hukuman mati jika disabitkan bersalah. Kira-kira 850 penduduk maut dalam kejadian itu.
Pemerhati berkata, keputusan mungkin memberi impak kepada pusingan kedua pilihan raya pada 16 dan 17 Jun ini antara calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi dan bekas Perdana Menteri, Ahmad Shafiq, yang berikrar tidak akan meneruskan pemerintahan kuku besi Mubarak. – AFP







